Singapura longgarkan sekatan, kembali ke Fasa Tiga bermula Isnin

Bernama
Jun 10, 2021 20:47 MYT
Singapura mengumumkan kembali ke Fasa Tiga bermula 14 Jun, menyaksikan beberapa sekatan tertentu dilonggarkan termasuk had perhimpunan sosial ditambah daripada dua kepada lima orang. - Gambar fail/REUTERS
SINGAPURA: Singapura hari ini mengumumkan kembali ke Fasa Tiga bermula Isnin depan (14 Jun), menyaksikan beberapa sekatan tertentu dilonggarkan termasuk had perhimpunan sosial ditambah daripada dua kepada lima orang.
Republik ini memasuki Fasa Dua dari 16 Mei hingga 13 Jun untuk mengurangkan peningkatan kes jangkitan dalam masyarakat.
"Dengan kekerapan saringan, pengesanan kontak yang teliti dan liputan vaksinasi lebih luas serta kes dalam masyarakat terkawal, kami akan mula melaksanakan langkah-langkah Fasa Dua," kata Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF) Gan Kim Yong pada sidang media maya hari ini.
Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata sepanjang beberapa minggu lalu, jumlah kes COVID-19 yang berkaitan dan tidak berkaitan telah menurun secara progresif.
"Kluster baharu juga semakin kurang dan umumnya melibatkan kluster kecil. Rutin saringan dan ujian yang agresif membolehkan kami mengesan dan menangani kes-kes yang berpotensi lebih awal...ia dapat memperlahan dan mengekang penularan jangkitan dalam komuniti," katanya.
Bagaimanapun, Gan berkata untuk perkhidmatan di premis makanan ia hanya mungkin dibenarkan beroperasi semula bermula 21 Jun, terhad lima orang setiap meja, kerana dianggap sebagai aktiviti berisiko tinggi "tidak memakai pelitup muka ketika makan."
Sehingga tengah hari ini, Singapura telah mengesahkan empat kes jangkitan tempatan baharu. Dua daripadanya adalah kes tidak berkait.
Selain itu, terdapat sembilan kes import, menambah jumlah keseluruhan kes kepada 62,236.
Pada sidang media itu, MTF juga mengumumkan empat Kit Ujian Kendiri Antigen Rapid Test (ART) akan tersedia di farmasi untuk orang awam mulai 16 Jun 2021.
Menurut pasukan petugas kit ujian yang mudah digunakan itu menghasilkan keputusan kurang 20 minit.
Kit ujian kendiri ART itu akan melengkapkan lagi sistem pengawasan keseluruhan Singapura, kata MTF.
Pasukan petugas turut mengesyorkan individu yang pernah dijangkiti COVID-19 dan telah pulih, untuk menerima satu dos vaksin kerana ia akan meningkatkan lagi imuniti mereka.
Namun, MTF berkata buat masa ini pihaknya hanya mengutamakan mereka yang pernah dijangkiti COVID-19 dalam tempoh enam bulan untuk disuntik dos pertama.
Mengenai Program Vaksinasi Singapura, MTF BERKATA pada 9 Jun, lebih 4.4 juta dos vaksin COVID-19 telah diberikan.
Kira-kira 2.5 juta individu telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama dengan kira-kira 1.9 juta individu sudah mendapat kedua-dua dos.
Singapura akan memperluas Program Vaksinasi kepada warganya berusia 12 hingga 39 tahun, mulai 11 Jun 2021.
-- BERNAMA
#Singapura #fasa tiga #sekatan #perhimpunan sosial #Gan Kim Yong
;