Singapura lapor satu kes zika pada Ogos 2022

Bernama
September 3, 2022 11:50 MYT
Jangkitan virus Zika dibawa oleh nyamuk Aedes, sama seperti denggi. - gambar fail
SINGAPURA: Singapura melaporkan satu kes baharu Zika pada penghujung Ogos 2022, menurut Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) menerusi laman sesawangnya.
Bagaimanapun tiada kluster zika yang aktif setakat 2 Sept 2022, menurut agensi itu.
Sementara itu, media tempatan melaporkan kes Zika berkenaan adalah yang pertama sejak Mac 2020.
Kementerian Kesihatan memaklumkan jangkitan virus Zika dibawa oleh nyamuk Aedes, sama seperti denggi.
"Walaupun keadaan seperti ini jarang berlaku, komplikasi neurologi yang serius dan keabnormalan janin dapat dikaitkan dengan jangkitan virus Zika.
"Tiada vaksin atau ubat anti-viral khusus melawan penyakit itu setakat ini" memetik laman sesawang kementerian.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia memaklumkan, secara amnya pesakit mungkin mengalami gejala ringan termasuk demam, ruam, konjunktivitis, sakit otot dan sendi, lesu atau sakit kepala.
Gejala biasanya berlanjutan selama 2-7 hari.
Kebanyakan individu yang dijangkiti virus Zika tidak mengalami gejala serius.
-- BERNAMA
#Singapura #Zika #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #nyamuk
;