Singapura lapor satu kes import polio berkaitan vaksin

Bernama
Februari 7, 2025 07:45 MYT
Bayi itu dimasukkan terus ke Hospital Universiti Nasional (NUH) sejurus ketibaan dan kini berada dalam keadaan stabil. - Gambar hiasan
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura mengesahkan satu kes import poliomielitis lumpuh berkaitan vaksin, dengan penemuan setakat ini menunjukkan risiko penularan dalam komuniti adalah rendah.
Menurut kementerian itu, pesakit merupakan seorang bayi perempuan berusia lima bulan dari Indonesia yang dipindahkan secara perubatan dari negara itu untuk mendapatkan rawatan dan tiba di Singapura pada 26 Jan.
Bayi itu dimasukkan terus ke Hospital Universiti Nasional (NUH) sejurus ketibaan dan kini berada dalam keadaan stabil.
"Kes ini mengalami masalah imun terjejas dan sebelum ini telah menerima satu dos vaksin polio oral (OPV) serta satu dos vaksin polio tidak aktif (IPV) di Indonesia.
"Dia mengalami demam, kelemahan akut dan lumpuh pada bahagian bawah badan pada Disember 2024 ketika berada di Indonesia. Pada ketika itu, doktor yang merawatnya tidak mengesyaki bahawa simptom yang dialaminya berpunca daripada poliomielitis," menurut kenyataan MOH.
MOH berkata bayi berkenaan diasingkan sebaik sahaja dimasukkan ke hospital dan diletakkan di bawah langkah pencegahan dan kawalan jangkitan bagi mengelakkan penularan selepas poliomielitis disyaki.
Tiga kontak rapat, terdiri daripada ahli keluarga dan penjaganya, telah dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.
Singapura tidak melaporkan sebarang kes poliomielitis yang diperoleh secara tempatan sejak 1978. Kes terakhir yang dilaporkan pada 2006 adalah kes import.
MOH menyatakan Singapura mengekalkan status bebas polio dengan memastikan liputan vaksinasi polio yang tinggi, mengekalkan standard kebersihan dan sanitasi yang tinggi, serta mempunyai sistem pemantauan yang kukuh untuk mengesan kes berpotensi.
Menurut MOH, poliomielitis disebabkan oleh virus polio dan kebanyakannya tersebar melalui makanan yang tercemar dengan bahan najis.
Vaksinasi kekal sebagai perlindungan paling berkesan terhadap poliomielitis, selain mengamalkan kebersihan dan sanitasi yang baik.
Terdapat dua jenis vaksin polio: OPV yang mengandungi virus polio hidup yang dilemahkan, dan IPV yang tidak mengandungi virus hidup. Banyak negara telah beralih kepada IPV secara berperingkat, dan Singapura menghentikan penggunaan OPV pada 2021.
MOH menjelaskan bahawa IPV tidak mengandungi virus hidup, justeru ia tidak membawa risiko poliomielitis lumpuh berkaitan vaksin.
Poliomielitis lumpuh berkaitan vaksin adalah kesan sampingan yang sangat jarang berlaku, yang terjadi apabila seseorang mengalami polio lumpuh selepas menerima OPV.
"Risiko lebih tinggi bagi individu yang mengalami masalah imun terjejas, dan bagi mereka, IPV adalah lebih disyorkan berbanding OPV," menurut MOH.
-- BERNAMA
#polio #kes import #vaksin #bayi
;