Singapura kutuk keras serangan kejam di Pusat Kebudayaan Islam Quebec City

Bernama
Januari 30, 2017 06:45 MYT
Enam orang terbunuh dan lapan cedera, manakala 39 jemaah lain yang berada di pusat itu, yang juga merupakan sebuah masjid, tidak mengalami sebarang kecederaan. - REUTERS/Mathieu Belanger
Singapura mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam yang berlaku di Pusat Kebudayaan Islam Quebec City, Kanada ketika umat Islam menunaikan solat pada Ahad malam, mengakibatkan beberapa orang maut.
Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura (MFA) berkata serangan terhadap tempat beribadah tidak sepatutnya berlaku.
"Kami ingin menyampaikan ucapan takziah tidak terhingga kepada keluarga mereka yang kehilangan nyawa," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Menurut kementerian itu, pihaknya telah menghubungi empat rakyat Singapura yang berdaftar di Quebec dan mendapati mereka berada dalam keadaan selamat.
"Setakat ini, kami tidak menerima sebarang laporan terdapat rakyat Singapura yang terjejas secara langsung atau cedera akibat kejadian itu," katanya.
Menurut laporan, enam orang terbunuh dan lapan cedera, manakala 39 jemaah lain yang berada di pusat itu, yang juga merupakan sebuah masjid, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mengutuk serangan itu, yang beliau sifatkan sebagai 'serangan pengganas terhadap umat Islam'.
"Rakyat Kanada beragama Islam merupakan sebahagian penting daripada negara kami dan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu tidak mempunyai tempat dalam masyarakat, bandar raya dan negara kami," kata beliau, yang dipetik oleh satu laporan. -- Bernama
#Justin Trudeau #Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura #mfa #Pusat Kebudayaan Islam Quebec
;