Singapura kerah pesawat RSAF hantar bantuan kemanusiaan ke Gaza
Bernama
November 30, 2023 16:59 MYT
November 30, 2023 16:59 MYT
SINGAPURA: Singapura mengerahkan pesawat Pasukan Udara Republik Singapura (RSAF) untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada orang awam di Gaza, kata Kementerian Luar (MFA) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) republik itu.
Menurut kenyataan bersama oleh kedua-dua kementerian hari ini, sebuah pesawat RSAF Multi-Role Tanker Transport (MRTT) yang membawa bantuan kemanusiaan berlepas dari Pangkalan Udara Changi (Timur) ke Mesir pada awal pagi Khamis.
Rakyat Singapura telah menyumbang lebih S$7 juta dalam bentuk wang tunai dan barangan untuk menyokong usaha bantuan di Gaza, menurut kenyataan itu.
"Rakyat Singapura amat prihatin terhadap orang awam di Gaza yang berdepan krisis kemanusiaan yang teruk akibat perang.
"Kami amat menghargai sokongan dan usaha pengumpulan dana oleh Palang Merah Singapura (SRC), Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), Mercy Relief, Relief Singapore dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," kata Menteri Luar Vivian Balakrishnan.
Republik itu juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Mesir dan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) atas sokongan mereka dalam memudahkan penghantaran bantuan ke Gaza.
Menurut kenyataan itu, pakej berkenaan terdiri daripada bekalan perubatan, farmaseutikal, selimut, barangan sanitasi, penapis air dan makanan.
Bantuan itu disumbangkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH), Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan NGO, termasuk SRC, Mercy Relief dan Relief Singapore.
MFA telah menghubungi ERC untuk menentukan bekalan yang paling diperlukan.
Pusat Penyelarasan Bantuan Bencana dan Sokongan Kemanusiaan Serantau Changi (RHCC) SAF mengetuai usaha menyelaras dan menyatukan bantuan daripada agensi-agensi yang mengambil bahagian.
"Pakej berkenaan merupakan bantuan kemanusiaan Singapura yang kedua untuk Gaza," menurut kenyataan itu.
Balakrishnan dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan) Singapura Zaqy Mohamad berada di Pangkalan Udara Changi (Timur) untuk menghantar kru RSAF, bersama duta Mesir ke Singapura, Ahmed Mostafa Abdelaal Mohamed; Wakil Singapura ke Pihak Berkuasa Palestin, Hawazi Daipi dan wakil-wakil NGO.
Duta Singapura ke Mesir Dominic Goh akan menyaksikan penyerahan pakej bantuan kemanusiaan itu kepada ERC sebaik tiba di Mesir.
"Singapura akan terus bekerjasama rapat dengan rakan kongsi kami untuk menawarkan bantuan dan sokongan tambahan kepada masyarakat yang terjejas.
"Kami menggesa semua pihak untuk membenarkan penyaluran bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terjejas di Gaza dengan segera, selamat dan tanpa halangan," menurut kenyataan bersama itu.
Sementara itu, Ketua Penglibatan Global SRC Rebekah Lim berkata selain menghantar bekalan bantuan, SRC juga dapat menyampaikan penapis air melalui penerbangan kemanusiaan ke Mesir yang diselaraskan oleh RHCC.
"Kami percaya penapis air ini akan berguna dalam menyediakan air minuman bersih untuk orang awam di Gaza," kata Lim.
Menurut beliau, keadaan di lapangan adalah kompleks.
"Hanya melalui kerjasama kukuh dengan pihak berkuasa dan rakan kemanusiaan kami seperti ERC, kami dapat menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan di Gaza," kata beliau.
-- BERNAMA