Singapura kerah jet pejuang susulan ancaman bom dalam penerbangan Air India Express

Bernama
Oktober 15, 2024 06:30 MYT
Singapura telah mengerahkan dua jet pejuang F-15SG selepas Air India Express menerima e-mel yang menyatakan terdapat bom di dalam pesawat penerbangan AXB684 yang menuju ke Singapura. - Gambar X @Ng_Eng_Hen
SINGAPURA: Singapura telah mengerahkan dua jet pejuang F-15SG selepas Air India Express menerima e-mel yang menyatakan terdapat bom di dalam pesawat penerbangan AXB684 yang menuju ke Singapura.
Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen berkata, jet pejuang Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) mengiringi pesawat itu menjauhi kawasan yang berpenduduk dan ia mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 10.04 Selasa malam.
"Sistem Pertahanan Udara Berasaskan Darat (GBAD) dan Pasukan Pelupusan Ordnans Letupan (EOD) kami turut diaktifkan. Sebaik sahaja di darat, pesawat itu diserahkan kepada polis lapangan terbang," katanya dalam satu hantaran di X.
Dr Ng berkata, siasatan sedang dijalankan.
"Terima kasih kepada dedikasi dan profesionalisme SAF dan Home Team yang memastikan kami selamat, walaupun ancaman wujud di sekeliling kami." - BERNAMA
#Singapura #ancaman bom #Air India Express #penerbangan AXB684
;