Singapura kenakan caj jalan raya S$6.40 untuk kemasukan kenderaan asing

Agensi
Januari 16, 2017 10:57 MYT
Kenderaan asing yang memasuki Singapura dari Johor, sama ada melalui pusat pemeriksaan Tuas atau Woodlands, akan dikenakan caj jalan raya sebanyak S$6.40. - Gambar fail
Bermula 15 Februari, semua kereta dengan nombor pendaftaran asing yang hendak memasuki Singapura akan dikenakan caj jalan raya (RRC) berjumlah S$6.40 (RM20) bagi sekali masuk jika mereka melalui Tuas atau Woodlands.
Portal berita Channel News Asia pada Isnin melaporkan, perkara itu diumumkan oleh Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) republik itu.
Dari segi pertukaran nilai matawang, caj yang dikenakan RRC itu menyamai caj jalan raya sebanyak RM20 yang dikenakan Malaysia terhadap mana-mana kenderaan asing yang memasuki Johor. Caj tersebut telah dilaksanakan pada 1 November lalu.
Caj RRC perlu dibayar bersama Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), tol dan Sistem Kadar Bayaran Elektronik (ERP) sewaktu meninggalkan Singapura dari pusat pemeriksaan Tuas atau Woodlands.
Papan tanda telah didirikan untuk mengingatkan pengguna yang masuk ke negara pulau itu, agar membayar caj yang dikenakan melalui penggunaan kad Autopass atau kad tunai di pondok-pondok imigresen.
#caj jalan raya #Johor #RRC #Singapura #Tuas #Woodlands
;