Singapura kembali ke fasa dua pembukaan, perketat kemasukan di sempadan

Bernama
Mei 4, 2021 06:07 MYT
Wong berkata jumlah kes tempatan dan komuniti juga terus meningkat, menandakan penularan kes boleh meningkat jika tidak dibendung. - Gambar fail
SINGAPURA: Singapura akan kembali ke fasa dua pembukaan semula kegiatan ekonomi dan sosial bermula 8 hingga 30 Mei.
Singapura kini berada di fasa tiga dari 28 Disember 2020.
Di bawah fasa dua, republik ini akan memperketat syarat kemasukan di sempadan mulai 7 Mei, jam 2359 untuk semua pelancong yang baru tiba dari negara atau wilayah berisiko tinggi.
Perkara itu diumumkan Pasukan Pelbagai Kementerian (MTF) COVID-19 pada sidang media maya di sini pada Selasa.
Pengerusi bersama MTF Lawrence Wong berkata beberapa negara terus mengalami lonjakan semula kes dan kemunculan varian baharu virus juga telah dikesan di Singapura.
Wong berkata jumlah kes tempatan dan komuniti juga terus meningkat, menandakan penularan kes boleh meningkat jika tidak dibendung.
"Kami akan mengambil langkah tegas untuk membendung jangkitan COVID-19 di Singapura," kata Wong yang juga Menteri Pendidikan.
BACA: COVID-19: Dua warga Malaysia antara 14 kes komuniti di Singapura
Selain memperketat syarat kemasukan di sempadan, republik itujuga akan mengurangkan kebenaran masuk kepada warga asing dan penduduk tidak tetap.
MTF juga akan melanjutkan sejarah perjalanan sehingga 21 hari berbanding 14 hari, tetapi tidak termasuk untuk Gelembung Perjalanan Udara dan Laluan Hijau Timbal Balik.
Semakan semula tempoh Notis Duduk di Rumah (SHN) hingga 21 hari berbanding 14 hari juga akan dibuat.
BACA: COVID-19: Singapura wajibkan kuarantin 21 hari individu dengan sejarah perjalanan ke negara berisiko
Bagaimanapun, Australia, Brunei Darussalam, China, New Zealand, Taiwan, Hong Kong, dan Macau dikecualikan daripada semakan tersebut.
Mulai 8 Mei, langkah-langkah tambahan akan dikenakan untuk mengurangkan interaksi dalam kalangan masyarakat. Perkumpulan sosial hanya lima orang dibenarkan berbanding lapan sebelum ini.
Sementara itu, majikan mesti memastikan tidak lebih 50 peratus pekerja yang boleh bekerja dari rumah kembali ke tempat kerja.
Buat masa ini, sehingga 75 peratus pekerja yang bekerja dari rumah dibenarkan kembali ke tempat kerja.
Sehingga tengah semalam, Singapura melaporkan lima kes baharu COVID-19 membabitkan jangkitan tempatan.
Selain itu, terdapat 12 kes import, melibatkan mereka di bawah kategori SHN sebaik tiba di Singapura.
Secara keseluruhan, terdapat 17 kes baharu di Singapura semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 61,252.
Terdapat 10 kluster setakat ini dengan kes tertinggi berkaitan Kluster 62541, seorang jururawat di Hospital Tan Tock Seng (TTSH).
-- BERNAMA
#Lawrence Wong #Singapura #sempadan #varian baharu #COVID-19 #pendidikan #ekonomi #pelancong #warga asing #syarat kemasukan #perjalanan #gelembung perjalanan #kuarantin #Notis Duduk di Rumah #Laluan Hijau Timbal Balik
;