Singapura kaji permohonan Malaysia bagi semakan penghakiman ICJ
Bernama
Februari 3, 2017 00:29 MYT
Februari 3, 2017 00:29 MYT
Singapura sedang mengkaji permohonan Malaysia bagi semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura (MFA) berkata Singapura sedang mengkaji permohonan dan dokumentasi Malaysia dengan teliti dan telah menubuhkan pasukan perundangan sebagai respon terhadap permohonan Malaysia.
"Pasukan itu termasuk Peguam Negara Singapura Lucien Wong, Profesor S. Jayakumar, Profesor Tommy Koh, dan bekas Ketua Hakim Chan Sek Keong," kata jurucakap MFA dalam satu kenyataan hari ini.
"Malaysia telah memaklumkan kepada kita bahawa ia telah membuat permohonan bagi semakan penghakiman ICJ,"kata jurucakap itu.
Malaysia menarik perhatian bahawa dalam penghakiman kes itu pada 23 Mei, 2008, ICJ memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, kedaulatan terhadap Batuan Tengah adalah milik Malaysia dan kedaulatan Tubir Selatan adalah milik negara di perairan mana pulau itu terletak.
"Penghakiman ICJ adalah muktamad, terikat dan tidak boleh dirayu," kata kenyataan tersebut.
MFA berkata di bawah Artikel 61 Statut ICJ, permohonan bagi semakan penghakiman boleh dibuat hanya apabila ia berdasarkan penemuan beberapa fakta sedemikian rupa, dan apabila penghakinman disampaikan, fakta itu tidak diketahui oleh Mahkamah dan pihak yang memohon semakan.
"Permohonan itu harus difailkan dalam tempoh sepuluh tahun dari tarikh penghakiman, dan selewat-lewatnya dalam masa enam bulan selepas penemuan fakta baharu itu," kata kenyataan itu.
Terdahulu, dengan merujuk kepada penemuan fakta baharu, Peguam Negara Malaysia Tan Sri Mohamed Apandi Ali befrkata adalah penting fakta itu didengar dan dikaji sewajarnya di mahkamah.
Sementara itu, sebagai respon kepada pertanyaan daripada akhbar TODAY, Apandi hanya menyatakan bahawa Fakta baharu" itu ditemui selepas Kerajaan Britain mengubah status dokumen itu baru-baru ini.
Apabila diminta mengenal pasti dokumen-dokumen tertentu, Apandi dilaporkan berkata: "Bukan sekarang ... apabila Singapura dimaklumkan, dokumen-dokumen berkaitan akan diserahkan kepada mereka."
Ketika ditanya sejauh mana beliau yakin dengan cabaran terkini perundangan ini, Apandi berkata: "Saya amat yakin, begitu juga dengan pasukan saya di The Hague."
-- BERNAMA