Singapura kaji pendapat nasihat ICJ mengenai penempatan Israel

Bernama
Julai 22, 2024 15:35 MYT
Balakrishnan berkata pendirian lama Singapura mengenai isu penempatan Israel adalah jelas dan konsisten. - Gambar fail/Bernama
SINGAPURA: Singapura sedang mengkaji "dengan teliti" pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin adalah tidak sah, kata Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan.
"Saya mengambil maklum bahawa Mahkamah Keadilan Antarabangsa baru sahaja menerbitkan pendapat nasihatnya. Ini dilakukan pada Jumaat lepas dan Singapura sedang mengkaji pendapat nasihat ini dengan teliti," katanya pada majlis penyerahan bahagian keempat bantuan kemanusiaan Singapura ke Gaza di sini pada Isnin.
Transkrip kenyataan beliau dikongsi melalui laman web Kementerian Luar (MFA).
Dalam pendapat nasihat yang dikeluarkan pada 19 Julai, ICJ antara lain menegaskan bahawa penempatan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur serta rejim yang berkaitan dengannya, telah diwujudkan dan dikekalkan dengan melanggar undang-undang antarabangsa.
Balakrishnan berkata pendirian lama Singapura mengenai isu penempatan Israel adalah jelas dan konsisten.
"Kami melihat penempatan Israel di Tebing Barat sebagai tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa. Penempatan ini, sebenarnya, menjadikan lebih sukar untuk mencapai penyelesaian dua negara melalui rundingan," katanya.
Balakrishnan berkata Singapura secara konsisten mengundi menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menolak penempatan Israel di Tebing Barat dan mengundi menyokong semua resolusi Perhimpunan Agung PBB yang menyeru Israel membatalkan semua langkah unilateral untuk mengubah status Baitulmaqdis.
Sementara itu, Balakrishnan berkata Singapura menghantar 1,000 tan beras dan 300 tan sardin dalam tin ke Gaza di bawah bantuan kemanusiaan keempatnya.
Bekalan penting itu akan dihantar melalui pengangkutan laut komersial dari Singapura ke Larnaca, Cyprus, untuk dihantar ke Gaza dengan kerjasama Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Cyprus.
Dengan bantuan terkini itu, Singapura telah menyumbang lebih S$17 juta nilai sumbangan untuk Gaza setakat ini.
Majlis itu turut dihadiri oleh Hawazi, Kuasa Usaha di Kedutaan UAE di Singapura Dhabia Al Mehairbi dan Konsul Kehormat Cyprus di Singapura Raja Bose.
-- BERNAMA
#Mahkamah Keadilan Antarabangsa #Tebing Barat #Israel #PBB