Singapura kaji dan pertimbang suntikan penggalak COVID-19

Bernama
Ogos 19, 2021 04:14 MYT
Seorang petugas kesihatan sedang menyediakan suntikan vaksin COVID-19 di sebuah pusat vaksinasi di Singapura, 8 Mac, 2021. - REUTERS
SINGAPURA: Singapura sedang menilai dan dalam proses merangka rumusan mengenai cadangan sama ada suntikan penggalak (booster) perlu diberikan bagi membendung wabak COVID-19, kata Pengarah Perkhidmatan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Prof Madya Kenneth Mak.
"Banyak aspek yang berkaitan perkara ini perlu dibincangkan," kata Mak pada sidang media dalam talian Pasukan Pelbagai Kementerian (MTF) republik itu di sini pada Khamis.
"Pertamanya, kita mahu tanya sama ada vaksin penggalak ini diperlukan untuk semua penduduk atau sama ada kita perlu memberi keutamaan kepada sekumpulan rakyat yang mempunyai risiko mendapat jangkitan, meskipun sudah lengkap divaksin.
"Jadi isu seperti inilah yang sedang dibincangkan Jawatankuasa Pakar Vaksin COVID-19," katanya.
Mak berkata, cadangan mengenai perkara itu dijangka diumumkan tidak lama lagi.
Sementara itu dalam usaha ke arah menjadikan Singapura mempunyai kekebalan menentang COVID-19, Singapura akan memperkenalkan Vaccinated Travel Lanes (VTL) untuk mereka yang sudah lengkap divaksin, bermula dengan negara Jerman dan Brunei pada 1 September, 2021.
Mengumumkan perkara ini pada sidang media sama, Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran berkata, republik itu perlu meningkatkan langkah kawalan sempadan dengan peraturan baharu bagi membuka semula laluan pelancongan selamat.
Iswaran berkata republik itu memilih memulakan kaedah baharu itu dengan dua negara terbabit, berdasarkan penilaian keseluruhan aspek risiko serta operasi.
MTF juga semalam memperkenalkan langkah mengkategorikan vaksinasi untuk pelancong dari negara atau rantau yang berjaya membendung pandemik dengan baik selain sudah pun memberi vaksin kepada kebanyakan penduduk mereka.
Menurut pasukan petugas itu, negara atau rantau di dunia ini akan diklasifikasi kepada empat kategori, setiap satunya dibezakan berdasarkan langkah kawalan sempadan serta sejarah perjalanan pelancong terbabit 21 hari sebelum memasuki Singapura.
Antara lain, Singapura akan mula membenarkan pelancong masuk dengan kategori ujian semasa ketibaan; arahan Notis Tinggal di Rumah (SHN) tujuh hari bagi kategori II, dan kuarantin SHN 14 hari untuk kategori III dan IV.
-- BERNAMA
#Singapura #suntikan penggalak #booster #COVID-19 #vaksin #dos ketiga #Kenneth Mak #S Iswaran #Vaccinated Travel Lanes #VTL #sempadan #pelancongan #Jerman #Brunei #Jawatankuasa Pakar Vaksin COVID-19 #sejarah perjalanan
;