Singapura itu di mana? Rakyat AS masih tidak pasti lokasi pertemuan Trump-Jong Un
Agensi
Jun 14, 2018 17:42 MYT
Jun 14, 2018 17:42 MYT
Ketika imej pemimpin Korea Utara Kim Jong Un yang dilihat berada di sebuah lokasi bar aras bumbung pada malam sebelum pertemuan bersejarah dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, tersebar di media sosial, warga AS mula bertanya, “Singapura itu di mana?”
Singapura yang hanya kelihatan seperti satu titik di dalam peta dunia, merupakan negara yang kecil di rantau Asia Tenggara.
Pulau republik itu menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak berkaitan nuklear awal minggu ini membabitkan dua pemimpin yang paling kontroversi.
Reuters melaporkan, perkembangan itu sekali gus menjadikan ‘Singapura’ sebagai subjek yang paling dicari di enjin carian Google di AS pada Isnin, dengan lebih 2 juta pulangan carian.
Antara carian berkaitan dalam tempoh 24 jam termasuklah pertanyaan seperti ‘Where is Singapore?’ (Di mana Singapura?), 'Singapore summit' (Sidang kemuncak Singapura).
Liputan media pada Isnin lalu termasuklah mengenai kemunculan mengejut Jong Un di Hotel Marina Bay Sands dan di taman sekelilingnya, selain pertemuan pada jam-jam terawal dengan Trump di pulau peranginan Sentosa.
Singapura telah membelanjakan sejumlah S$20 juta(RM59.8 juta) untuk sidang kemuncak itu, satu jumlah yang cukup membuatkan rakyat negara itu berasa 'kurang senang'.
Bagaimanapun, pakar pemasaran berkata liputan yang diperoleh daripada acara tersebut bernilai lebih 10 kali ganda.
"Ia meletakkan Singapura dalam perhatian antarabangsa,” ujar Pengarah Eksekutif bagi Komunikasi dan Pemasaran di Singapore Tourism Board (Lembaga Pelancongan Singapura), Oliver Chong.
Pelancongan menyumbangkan kira-kira 4 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Singapura setiap tahun. Kemasukan pengunjung mencatatkan jumlah 17.4 juta pada tahun lalu.
Namun, beberapa bulan lalu, majalah antarabangsa Time Out meletakkan Singapura dalam senarai antara bandar raya paling kurang menarik untuk dikunjungi.
Ketua Pengarah Eksekutif agensi West Pier Ventures, Andrew Darling, pula berkata publisiti yang diterima Singapura sebagai tuan rumah sidang kemuncak itu jika dinilai dengan kos adalah lebih daripada S$200 juta (RM597 juta).
"Bagi ramai rakyat Asia yang memilih Singapura sebagai destinasi kunjungan, ia menunjukkan bahawa negara ini efisien dan selamat. Bagi orang Amerika yang tidak begitu terbiasa dengan benua Asia, sidang kemuncak itu pastinya meletakkan Singapura di pentas antarabangsa," ujar Jason Tan dari agensi pengiklanan media, Zenith Singapore.
Bagaimanapun, masih ramai yang tidak pasti kedudukan Singapura berdasarkan rajah peta dunia.
Sebelum ini, Jabatan Negara AS telah tersilap dengan menganggap Singapura adalah sebahagian daripada Malaysia dalam satu nota yang dikeluarkan sempena sidang kemuncak tersebut.
Hal itu telah menimbulkan pelbagai ulasan di media sosial.
#Amerika Syarikat
#Donald Trump
#Kim Jong Un
#Korea Utara
#lokasi pertemuan
#sidang kemuncak
#Singapura