Singapura, Indonesia umum laluan hijau bagi urusan rasmi
Nailah Huda
Oktober 12, 2020 11:07 MYT
Oktober 12, 2020 11:07 MYT
KUALA LUMPUR: Singapura dan Indonesia umum akan membuka permohonan untuk Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) bagi perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara itu mulai 26 Oktober.
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh dua republik itu, laluan hijau itu akan membenarkan rentas sempadan secara bersyarat bagi tujuan urusan perniagaan dan rasmi.
RGL yang turut digelar Koridor Perjalanan Bisnis (TCL) di Indonesia boleh dimohon oleh warganegara Indonesia serta penduduk Singapura.
Pelawat bagaimanapun perlu patuh kepada perintah kawalan dan peraturan bagi mengekang COVID-19, yang telah mendapat persetujuan kedua-dua republik itu.
Ia termasuk ujian saringan COVID-19 oleh institusi kesihatan rasmi sebelum dan selepas perjalanan.
Persetujuan itu dicapai selepas rundingan antara Menteri Luar Indonesia Retno L.P. Marsudi bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan menerusi telefon.
“Mereka mengulangi perbincangan pada Ogos 2020 berhubung kepentingan untuk mengukuhkan kerjasama yang saling bermanfaat dalam mengatasi cabaran yang dikongsi bersama akibat COVID-19, termasuk mengembalikan perjalanan yang perlu sambil melindungi kesihatan dan keselamatan umum di kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Permohonan bakal dibuka pada 26 Oktober depan diikuti dengan permulaan perjalanan rentas sempadan pada tarikh yang belum diumumkan.
Perincian pengoperasian RGL/TCA termasuk kriteria, protokol kesihatan serta proses permohonan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
#Singapura
#Indonesia
#COVID-19
#rentas sempadan
#laluan hijau
#RGL
#TCA
#Laluan Hijau Timbal Balik
#Koridor Perjalanan Bisnis
#green lane