Singapura hentikan aplikasi Mobile Guardian pelajar selepas serangan siber

Bernama
Ogos 5, 2024 11:00 MYT
Siasatan Mobile Guardian mendapati terdapat insiden keselamatan siber global yang melibatkan akses tidak sah ke platformnya yang menjejaskan pelanggan di seluruh dunia, termasuk di Singapura. - Gambar hiasan
SINGAPURA: Kementerian Pendidikan Singapura akan menghentikan penggunaan Aplikasi Mobile Guardian daripada peranti pembelajaran peribadi pelajar sebagai langkah berjaga-jaga selepas insiden pencerobohan keselamatan siber global yang menjejaskan kira-kira 13,000 pelajar di negara itu.
Kementerian itu memaklumkan pihaknya menerima laporan daripada beberapa sekolah pada malam Ahad bahawa sesetengah pelajar yang menggunakan iPad atau Chromebook tidak dapat mengakses aplikasi dan maklumat yang disimpan dalam peranti mereka.
"Siasatan Mobile Guardian mendapati terdapat insiden keselamatan siber global yang melibatkan akses tidak sah ke platformnya yang menjejaskan pelanggan di seluruh dunia, termasuk di Singapura.
"Berdasarkan pemeriksaan awal, kira-kira 13,000 pelajar dari 26 sekolah menengah mengalami situasi peranti mereka dipadamkan secara jarak jauh oleh penceroboh," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Isnin.
Setakat ini, tiada bukti bahawa fail pengguna berjaya diakses.
Kementerian pendidikan berkata usaha sedang dijalankan untuk memulihkan peranti ini supaya boleh digunakan seperti biasa dan sedang mempertimbangkan langkah-langkah lain untuk mengawal penggunaan peranti bagi menyokong pembelajaran dalam tempoh ini.
"Insiden terbaharu ini tidak mempunyai kaitan dengan isu teknikal yang dihadapi oleh pelajar bulan lepas," menurut kementerian itu.
Siasatan Mobile Guardian mendapati bahawa insiden pada Julai, yang menyebabkan beberapa pelajar di pelbagai sekolah menghadapi masalah untuk mengakses Internet dan menerima mesej ralat adalah disebabkan oleh kesilapan manusia dalam konfigurasi oleh Mobile Guardian.
-- BERNAMA
#Singapura #mobile guardian #peranti pelajar #serangan siber