Singapura harap dapat buka sempadan hujung tahun ini - Lee Hsien Loong

Agensi
Mac 14, 2021 15:39 MYT
Lee berharap sempadan negara itu dapat dibuka kepada rakyat asing pada akhir tahun ini ketika negara-negara lain sedang giat meningkatkan keupayaan vaksinasi COVID-19. - Gambar fail/REUTERS
SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berharap sempadan negara itu dapat dibuka kepada rakyat asing pada akhir tahun ini ketika negara-negara lain sedang giat meningkatkan keupayaan vaksinasi COVID-19.
Bercakap kepada BBC, beliau memaklumkan Singapura juga sedang mengadakan perbincangan untuk pengiktirafan bersama sijil vaksinasi dengan negara luar bagi memudahkan pergerakan rakyat ke negara itu.
"Sekiranya majoriti populasi dunia sudah divaksin menjelang akhir tahun ini, jadi kita akan lebih yakin untuk membangunkan sistem dan membuka kembali sempadan antarabangsa untuk perjalanan yang lebih selamat
"Mudah-mudahan pada akhir tahun ini atau tahun depan, sempadan negara boleh dibuka, atau mungkin boleh jadi lebih awal," katanya di sini, pada Ahad.
Sehingga 8 Mac lalu, lebih 611,000 individu menerima dos vaksin COVID-19 di republik itu.
Meskipun perkembangan itu sedikit lambat berbanding negara-negara lain, namun Singapura bertekad untuk memberi suntikan tersebut kepada kesemua 5.7 juta rakyat di negara itu.
Singapura menerima bekalan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech pada 21 Disember tahun lalu, awal dua bulan berbanding Malaysia.
Sementara itu, pada bulan lalu, negara itu menerima bekalan pertama vaksin Moderna.
#Singapura #bbc #COVID-19 #pandemik #Sempadan Negara #Moderna #Pfizer #Lee Hsien Loong #vaksin
;