Singapura haramkan kapal perang Usman dan Harun milik Indonesia

Astro Awani
Februari 18, 2014 20:39 MYT
Singapura hari ini mengumumkan akan mengharamkan kapal tentera laut Indonesia yang dinamakan sempena dua anggota marin yang terlibat dalam pengeboman sebuah bangunan di Singapura ketika kemuncak hubungan tegang antara dua negara itu pada 1960-an.
Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen berkata kapal itu dilarang daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan atau pangkalan laut milik Singapura.
Kapal tentera laut Indonesia itu dinamakan sempena Usman Mohamed Ali dan Harun Said yang disabitkan tuduhan dan dihukum mati di Singapura kerana terlibat dalam pengeboman MacDonald House pada Mac 1965.
Serangan itu membunuh tiga orang dan mengakibatkan 33 lagi cedera.
Serangan itu adalah sebahagian daripada tindakan Presiden Indonesia ketika itu, Sukarno melakukan konfrontasi ke atas Malaysia yang baru dibentuk yang ketika itu disertai oleh Singapura.
"Singapura tidak akan membenarkan kapal tentera yang diberi nama Usman Harun itu daripada berlabuh di pelabuhan dan pangkalan laut kita," kata Ng di parlimen pada Selasa.
"Adalah mustahil untuk SAF (Tentera Singapura) sebagai pelindung negara ini untuk belayar atau terlibat dalam latihan bersama kapal ini."
Dalam ucapannya yang penuh emosi, Ng berkata kementerian pertahanan dan SAF "kesal dan kecewa dengan langkah yang sukar dijelaskan itu".
"Walaupun tanpa niat yang jahat, bagaimana dengan menamakan kapal itu sempena nama dua pengebom boleh membina hubungan baik dan rasa hormat antara dua negara," katanya.
Dalam reaksi kepada sekatan itu, menteri keselamatan Indonesia Djoko Suyanto berkata: "Kapal itu belum tiba lagi, apa masalahnya?"
"Lagi pula, siapa kata kapal itu akan dibawa ke Singapura?" katanya kepada AFP melalui satu mesej ringkas.
Dua anggota marin yang terlibat dalam serangan itu merupakan anggota Korps Komando Operasi, yang kini dikenali sebagai Korps Marin, yang diberi arahan untuk menyusup ke Singapura.
Menurut Ng, kehadiran kapal Indonesia itu di perairannya akan "jadi peringatan kepada kekerasan ketenteraan dan jenayah yang dilakukan oleh marin Indonesia yang membunuh dan memusnahkan kehidupan orang awam dan keluarga mereka di Singapura".
Beliau bagaimanapun menambah Singapura tidak akan "melatah" terhadap tindakan Indonesia itu dan mahu membina semula hubungan dua hala ketenteraan dengan negara jirannya itu.
Dalam satu kenyataan berasingan yang juga dikeluarkan di parlimen, Menteri Luar Singapura K. Shanmugam berkata pihaknya akan menghantar nota bantahan rasmi kepada Jakarta.
Katanya, Singapura berpegang kepada kenyataan Menteri Luar Indonesia Marty Natalegawa "bahawa tidak ada niat buruk dan tindakan itu (menamakan kapal berkenaan) adalah satu keputusan yang dibuat secara profesional".
Indonesia adalah rakan dagang Singapura yang ketiga terbesar dengan jumlah dagangan dua hala mencecah S$79.4 bilion pada 2012.
Hubungan antara dua negara itu merosot pada akhir 1990-an selepas kejatuhan presiden Suharto apabila penggantinya B.J. Habibie merujuk kepada Singapura sebagai "titik merah kecil" di atas peta.
Hubungan itu pulih sejak beberapa tahun kebelakangan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
#harun #Indonesia #Menteri Pertahanan Singapura #Ng Eng Hen #Singapura #Usman
;