Singapura hantar pulang rakyat Malaysia ditahan di bawah ISA

Bernama
Februari 10, 2025 21:17 MYT
ISD memaklumkan bahawa Saharuddin Saari, yang bekerja sebagai tukang cuci di Singapura telah dibatalkan pas kerjanya dan dihantar pulang ke Malaysia selepas siasatan terhadapnya selesai. - Gambar hiasan/pixabay
SINGAPURA: Seorang rakyat Malaysia berusia 34 tahun yang terpengaruh dengan ideologi radikal secara kendiri telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Singapura pada November tahun lepas, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).
Dalam satu kenyataan pada Isnin, agensi itu memaklumkan bahawa Saharuddin Saari, yang bekerja sebagai tukang cuci di Singapura telah dibatalkan pas kerjanya dan dihantar pulang ke Malaysia selepas siasatan terhadapnya selesai.
Beliau telah diserahkan kepada Cawangan Khas Malaysia (MSB) pada November 2024.
ISD menyatakan bahawa Saharuddin berhasrat untuk pergi ke zon konflik di luar negara seperti Syria dan Gaza bagi terlibat dalam keganasan bersenjata.
Agensi di bawah Kementerian Ehwal Dalam Negeri itu menyatakan bahawa Saharuddin tidak mempunyai rancangan serangan khusus terhadap Singapura, dan beliau juga tidak mempengaruhi sesiapa di negara itu dengan fahaman radikal.
Bagaimanapun, beliau sanggup melakukan keganasan di Singapura sekiranya menganggap negara itu berpihak kepada musuh Islam.
ISD berkata pihaknya telah bekerjasama rapat dengan Cawangan Khas Malaysia dalam siasatan berkenaan.
Agensi itu turut menyatakan bahawa perjalanan Saharuddin ke arah fahaman radikal bermula pada 2014 apabila beliau menemui bahan dalam talian mengenai konflik di Syria dan kumpulan yang terlibat.
Pada sekitar 2015-2016, seorang kenalan dalam talian yang memperkenalkan diri sebagai pejuang menasihati Saharuddin supaya menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Turkiye dan menawarkan untuk membawanya melalui jalan darat dari Turkiye ke Syria.
"Saharuddin tidak meneruskan rancangan perjalanannya, terutamanya kerana kekurangan dana yang mencukupi," menurut ISD.
-- BERNAMA
#Singapura #hantar pulang #rakyat Malaysia #ISA
;