Singapura hadapi cuaca lebih ekstrem berikutan perubahan cuaca - Laporan
Bernama
Januari 5, 2024 19:23 MYT
Januari 5, 2024 19:23 MYT
SINGAPURA: Singapura yang kini mengalami cuaca panas terik, hujan lebat dan peningkatan paras laut akan berhadapan cuaca yang lebih buruk jika perubahan iklim semakin teruk, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Penyelidikan Iklim Singapura pada Jumaat.
"Kajian ketiga Perubahan Iklim Kebangsaan" Singapura menunjukkan bahawa republik itu dijangka menjadi lebih panas dengan purata suhu tahunan meningkat kepada 0.55 darjah Celsius setiap dekad menjelang akhir abad ini di bawah senario pelepasan tinggi, lapor Xinhua.
Purata suhu tahunan Singapura meningkat pada kadar 0.24 darjah Celsius setiap dekad dalam tempoh 40 tahun lepas, menurut laporan itu.
Mengambil kira hujan yang sentiasa berubah-ubah pada skala bermusim, laporan itu memberi amaran bahawa hujan akan menjadi semakin tidak seimbang akibat perubahan iklim yang teruk.
Menyifatkan kenaikan paras laut sebagai cabaran utama bagi Singapura di tengah-tengah perubahan iklim, laporan itu menyebut bahawa purata paras laut di sekitar negara itu diunjurkan meningkat sebanyak 0.23 hingga 1.15 meter menjelang akhir abad dan sehingga sekitar dua meter menjelang 2150.
Pihak berkuasa Singapura berkata ia akan berkongsi data laporan itu dengan anggota ASEAN dan menggalakkan perkongsian data dengan entiti antarabangsa dan komuniti saintifik secara lebih meluas untuk melaksanakan penyelidikan bersama.
Singapura komited untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050 untuk menangani perubahan iklim.
-- BERNAMA