Singapura gagalkan plot penipuan peperiksaan pelajar yang dianggap 'berteknologi tinggi'

Agensi
April 17, 2018 17:04 MYT
Para pelajar berkenaan telah membawa masuk telefon bimbit dan peranti Bluetooth secara curi, dan menggunakan fon telinga yang berwarna kulit. - Gambar hiasan/Freepik
Seorang tutor sebuah pusat bimbingan pelajaran di Singapura telah mengaku membantu enam pelajar dari China untuk menipu dalam peperiksaan pada tahun 2016.
Pihak pendakwaraya mendakwa perancangan yang dibuat oleh tertuduh bersama pelajar-pelajar itu sangat terancang, lapor BBC.
“Operasi penipuan itu sangat sofistikated,” ujar TImbalan Pendakwaraya Umum, Vadivalagan Shanmuga, seperti yang dipetik dari portal berita Channel NewsAsia.
Tutor itu, Tan Jia Yan, menduduki peperiksaan sebagai calon persendirian dan telah menghantar soalan-soalan itu menerusi aplikasi FaceTime kepada satu pihak lain, yang seterusnya menghubungi para pelajar dan membacakan jawapan.
Para pelajar berkenaan telah membawa masuk telefon bimbit dan peranti Bluetooth secara curi, dan menggunakan fon telinga yang mirip warna kulit.
Jia Yan mengaku bersalah terhadap 27 pertuduhan. Tiga lagi tidak mengaku terlibat dalam penipuan itu.
Peperiksaan peringkkat O-Level itu, lazimnya diduduki pelajar berusia lingkungan 16 tahun.
Plot penipuan itu terbongkar selepas pengawas peperiksaan terdengar bunyi yang ‘aneh’ daripada salah seorang pelajar yang terlibat, ujar pendakwaraya.
Pelajar itu telah dipanggil selepas peperiksaan dan diminta menanggalkan ves yang dipakainya. Sebuah telefon bimbit, peranti Bluetooth dan fon telinga telah ditemui.
Tiga suspek lain ialah pengetua pusat tuisyen, Poh Yuan Nie; dan tenaga pengajar lain, Fiona Poh Min dan Feng Riwen. Mereka dilaporkan mencabar pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka.
Poh Yuan Nie didakwa menerima deposit sejumlah S$8,000 (RM23,700) daripada seorang warga China dan S$1,000 (RM2,970) bagi setiap pelajar yang dirujuk ke pusat tuisyen tersebut.
Wang itu difahamkan, akan dikembalikan jika para pelajar itu gagal dalam peperiksaan.
#dakwaan #mahkamah #o-level #pelajar #peperiksaan #siasatan #sindiket penipuan #Singapura #tutor
;