Singapura diselubungi dengan jerebu berbau asap pada Isnin apabila pencemaran dari kebakaran di pulau Sumatera Indonesia merebak ke negara berhampiran.

Bacaan Indeks Piawaian Pencemaran pada tengah hari berada pada paras 80, paras tertinggi bagi purata “sederhana”, menurut laman web Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA). Sebarang bacaan diatas 100 dianggap tidak sihat.

Jerebu boleh dilihat di sekitar jalan daerah pusat perniagaan di Singapura, tetapi setakat ini tidak menjejaskan pengangkutan udara atau perniagaan. Sekolah-sekolah di Singapura pula dalam tempoh bercuti.

Mereka yang mempunyai masalah jantung dan paru-paru, mereka yang berumur 65 tahun ke atas dan kanak-kanak dinasihatkan untuk “mengurangkan aktiviti luar” walaupun dalam keadaan sederhana.

"Keadaan jerebu dijangka berterusan untuk beberapa hari," kata NEA.

Malaysia juga turut terjejas berkenaan masalah jerebu tersebut, yang berlaku pada musim kering berikutan kebakaran hutan yang luas di kepulauan Indonesia, sebahagian daripadanya sengaja dilakukan bagi menjalankan pembersihan tanah untuk penanaman.

Jerebu mencapai bacaan kurang sihat di Malaysia sepanjang hujung minggu.

Pada Isnin, indeks pencemaran Malaysia menunjukkan bacaan tidak sihat antara 102 dan 121 di sebahagian dari negeri Pahang, Terengganu dan Melaka.

Di Kuala Lumpur, keadaan agak berkabus dengan bacaan 82.

Masalah jerebu di Asia Tenggara mencecah paras yang paling teruk pada tahun 1997-1998, menyebabkan masalah kesihatan yang meluas dan menjejaskan keadaan ekonomi kerana gangguan terhadap perniagaan dan pengangkutan udara.