Singapura diramal jerebu lagi

Astro Awani
Julai 21, 2013 21:15 MYT
Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA) meramalkan Singapura mungkin mengalami jerebu beberapa hari lagi.
Ia berikutan cuaca kering dijangka berlaku dalam tempoh masa dua hari lagi di beberapa bahagian di Sumatera.
Jelas NEA, jika berlaku perubahan arah angin dari arah barat, Singapura mungkin mengalami jerebu.
Amaran akan dikeluarkan sekiranya keadaan itu berlaku.
Jumlah titik panas di Sumatera yang dikesan satelit NOAA 18 juga meningkat dengan cepat sejak dua hari lalu sehingga mencecah 159 pada Sabtu.
63 daripada titik berkenaan dikesan di wilayah Riau di Sumatera Tengah, kira-kira 280 km dari Singapura.
Angin kini bertiup dari arah tenggara atau selatan namun asap belum lagi bertiup ke arah Singapura.
Sesetengah negeri di Semenanjung Malaysia mengalami kemerosotan kualiti udara sejak lewat pagi Sabtu dengan bacaan indeks pencemaran udara paling tinggi iaitu 105 dicatat pada tengah hari Ahad di Bukit Rambai, Melaka.
#jerebu
;