Singapura cari mekanisme pembiayaan bagi menyokong penyahkarbonan di Asia

Bernama
September 28, 2023 06:15 MYT
Menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Panel Penasihat Kewangan Lestari (SFAP) bank pusat itu telah mengadakan perbincangan berkaitan perkara tersebut pada 26 Sept. - Foto fail
SINGAPURA: Singapura sedang mencari mekanisme pembiayaan bagi mempercepatkan penghapusan secara berperingkat loji jana kuasa arang batu di Asia dan menyokong penyahkarbonan sektor penerbangan dan pengangkutan maritim yang sukar dikurangkan.
Menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Panel Penasihat Kewangan Lestari (SFAP) bank pusat itu telah mengadakan perbincangan berkaitan perkara tersebut pada 26 Sept.
SFAP juga membincangkan bagaimana modal swasta boleh digerakkan dengan lebih baik dalam membiayai keperluan penyesuaian iklim di rantau ini, kata MAS dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Khamis.
MAS berkata penyahkarbonan sektor tenaga, penerbangan dan pengangkutan maritim adalah penting untuk rantau ini beralih kepada sifar bersih.
Tiga perkara penting yang diambil daripada perbincangan SFAP merangkumi pendekatan ekosistem secara keseluruhan adalah penting untuk mempercepatkan peralihan arang batu; mempercepatkan penggunaan bahan api marin dan penerbangan mampan adalah kunci kepada penyahkarbonan sektor penerbangan dan pengangkutan maritim; dan kerjasama awam-swasta diperlukan bagi menangani penyahkarbonan.
MAS berkata, ahli-ahli SFAP menekankan kepentingan penghapusan fasa terurus loji jana kuasa arang batu, yang mesti dilakukan bersama pembangunan sumber tenaga bersih, dalam peralihan tenaga Asia.
Pendekatan komprehensif yang memberikan kredibiliti untuk projek pemansuhan awal dan struktur pembiayaan yang inovatif, kejelasan peraturan mengenai pelepasan yang dibiayai, dan pembaharuan dasar yang sesuai, akan diperlukan untuk peralihan arang batu, katanya.
Mengenai penyesuaian iklim, MAS berkata mesyuarat itu menyatakan bahawa kurang 10 peratus daripada kewangan iklim global kini disalurkan kepada usaha penyesuaian, dengan kebanyakannya dibiayai oleh sektor awam.
"Menyedari bahawa pemanasan global menyebabkan kemarau yang lebih teruk, gelombang haba dan bencana lain yang berkaitan dengan iklim, ahli-ahli SFAP membincangkan penyelesaian yang mungkin untuk meningkatkan pembiayaan swasta bagi usaha penyesuaian iklim di rantau ini.
"Ini termasuklah instrumen berkaitan daya tahan dan produk insurans parametrik yang membolehkan campur tangan awal dan tindak balas pantas terhadap bencana iklim," kata bank pusat itu.
Ahli-ahli SFAP juga membincangkan cara untuk menangani risiko iklim fizikal yang di bawah nilai, termasuk mengukuhkan seni bina data risiko iklim global, tambahnya.
SFAP ditubuhkan pada 2022 untuk membimbing MAS mengenai strategi dan inisiatifnya dalam membina ekosistem kewangan mampan yang bertenaga dan boleh dipercayai.
-- BERNAMA
#penyesuaian iklim #pengangkutan maritim #sifar bersih #arang batu
;