Singapura cadang buka pejabat perwakilan di Ramallah untuk selaras bantuan teknikal

Bernama
Mac 21, 2022 06:00 MYT
Vivian Balakrishnan (kiri) dan Riyad Al-Malki mengadakan sidang media di Ramallah, Palestin. - Facebook Vivian Balakrishnan
SINGAPURA: Singapura menzahirkan hasrat menubuhkan pejabat perwakilan di Ramallah bagi memudahkan kerja-kerja penyelarasan Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (ETAP) bagi rakyat Palestin bernilai S$10 juta.
Menurut Kementerian Luar (MFA) republik itu, pejabat perwakilan itu bertanggungjawab menyelaras bantuan teknikal dan menyokong usaha wakil Singapura untuk pihak berkuasa tempatan.
Hasrat itu disampaikan Menteri Hal Ehwal Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan ketika bertemu rakan sejawatannya Dr Riyad Al-Malki, menurut MFA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Balakrishnan kini dalam rangka lawatan ke Ramallah.
Selain itu, Balakrishnan mengesahkan komitmen Singapura menyokong pihak berkuasa tempatan melalui kapasiti pembinaan dan menggalakkan lebih ramai pegawai Palestin menyertai kursus latihan di bawah ETAP.
Beliau turut menyampaikan surat jemputan Presiden Singapura Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong masing-masing kepada Presiden Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri Dr Mohammad Shtayyeh.
Turut disampaikan pakej bantuan penjagaan kesihatan khas sumbangan Singapura bernilai kira-kira S$750,000 bagi menyokong usaha Palestin memerangi pandemik COVID-19.
Pakej bantuan itu termasuk kursus penjagaan kesihatan yang bersesuaian, serta biasiswa pascasiswazah bertujuan melatih penggubal dasar dan profesional penjagaan kesihatan Palestin.
-- BERNAMA
#Singapura #pejabat perwakilan #Ramallah #bantuan teknikal
;