Singapura buka sempadan kepada semua pengembara lengkap divaksin pada 1 April

Bernama
Mac 24, 2022 15:31 MYT
Semua pengembara yang lengkap divaksin dari mana-mana negara atau wilayah akan dibenarkan memasuki Singapura tanpa kuarantin. - Unsplash
SINGAPURA: Singapura akan membuka semula sempadannya kepada semua pengembara yang lengkap divaksin dari negara atau wilayah dalam Kategori Perjalanan Umumnya dan akan beralih kepada Rangka Kerja Perjalanan Bervaksin baharu mulai 1 April 2022.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata di bawah Rangka Kerja baharu itu, semua pengembara yang lengkap divaksin dari mana-mana negara atau wilayah akan dibenarkan memasuki Singapura tanpa kuarantin, selagi mereka tidak melawat mana-mana negara atau wilayah dalam Kategori Terhad republik itu dalam tujuh hari.
"Pada masa ini tiada negara atau wilayah dalam Kategori Terhad," kata CAAS dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan peralihan ke Rangka Kerja Perjalanan Bervaksin, CAAS berkata semua pengaturan Laluan Perjalanan Bervaksin (VTL) dan Pembukaan Sepihak (UO) sedia ada akan ditamatkan.
Awal hari ini, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata republik itu akan melonggarkan peraturan perjalanan rentas sempadan memandangkan keadaan Omicron kini terkawal.
"Sebelum ini, kita berhati-hati kerana belum pasti mengenai kesan Omicron. Hampir semua kes kita adalah domestik, yang berpunca daripada komuniti," kata Lee dalam kemas kininya mengenai situasi COVID-19 republik itu yang disiarkan secara langsung di sini.
Lee berkata kes jangkitan melibatkan ketibaan dari luar negara hanya sebahagian kecil daripada kes.
"Oleh itu, kita boleh membuka sempadan dengan selamat dan akan memperkemas secara drastik keperluan ujian dan kuarantin untuk pengembara," katanya.
Antara lain, di bawah Rangka Kerja baharu, pengembara yang divaksin sepenuhnya tidak perlu lagi mengambil sebarang ujian COVID-19 di Singapura.
Bagaimanapun, mereka mesti menjalani ujian pra-berlepas (PDT) dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Singapura dan menunjukkan keputusan ujian negatif.
PDT ini boleh dilakukan dengan ujian Reaksi Rantaian Polimerase, Ujian Pantas Antigen (ART) yang ditadbir secara profesional atau ART yang dilakukan sendiri yang diawasi dari jauh oleh penyedia ART di Singapura yang menyediakan perkhidmatan sedemikian.
Syarikat penerbangan tidak lagi perlu mengendalikan penerbangan VTL yang ditetapkan ke Singapura, dan pengembara yang lengkap divaksin kini boleh memasuki Singapura mengikut mana-mana penerbangan.
Seiring dengan itu, tiada lagi kuota ketibaan harian, kata CAAS.
Bagi Status Pemvaksinan, semua sijil vaksinasi, tanpa mengira tempat ia keluarkan dan sama ada boleh disahkan secara digital atau tidak, akan diterima sebagai bukti vaksinasi.
CAAS menambah bahawa pengembara yang sudah menerima vaksin lengkap tidak memerlukan kelulusan kemasukan untuk memasuki Singapura.
Ini bermakna pengembara tidak lagi perlu memohon Pas Perjalanan Bervaksin (VTP) atau Pas Perjalanan Udara (ATP) untuk masuk ke Singapura, kata kenyataan itu.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan republik itu menambah negara juga sedang berusaha ke arah penyambungan semula sepenuhnya perjalanan darat dengan Malaysia untuk pengembara yang lengkap divaksin.
"Perincian mengenai langkah-langkah sempadan yang tepat bagi pengembara yang lengkap divaksin untuk memasuki Singapura melalui sempadan darat akan diumumkan bersama Malaysia," kata kementerian itu.
-- BERNAMA
#Singapura #vaksin #Pengembara #tanpa kuarantin
;