Singapura buka koridor perjalanan dengan 8 lagi negara, Malaysia tidak tersenarai
Agensi
Oktober 9, 2021 15:22 MYT
Oktober 9, 2021 15:22 MYT
SINGAPURA: Singapura menambah lapan lagi negara dalam senarai koridor perjalanan vaksinasi yang membenarkan individu lengkap vaksinasi COVID-19 memasuki republik itu tanpa menjalani kuarantin.
Bermula 19 Oktober, pelancong yang sudah melengkapkan suntikan vaksin dari Kanada, Denmark, Perancis, Itali, Belanda, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat dibenarkan memasuki Singapura melalui inisiatif koridor berkenaan.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Lembaga Penerbangan Awam Singapura (CAAS) hari ini selepas pelan koridor tersebut diumumkan bulan lepas membabitkan dua negara, Brunei dan Jerman, manakala Korea Selatan pula diumumkan semalam.
Menurut CAAS, penambahan beberapa negara lagi dibuat dengan pendekatan berjaga-jaga dan berperingkat bagi “membina semula” status Singapura sebagai hab penerbangan antarabangsa dengan penyambungan global.
Sebanyak 179 pas perjalanan yang dikeluarkan kepada pelancong dari Brunei ke Singapura selain 4,497 dari Jerman ke Singapura dari 8 September hingga 12 November tahun ini, dengan sejumlah 1,926 pas dari kedua-dua negara memasuki Singapura pada Jumaat lalu.
Daripada jumlah itu, hanya dua kes COVID-19 dikesan dalam kalangan pengunjung tersebut yang dikesan melalui ujian saringan COVID-19 PCR yang diambil di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.