Singapura berusaha perkukuh hubungan dengan negara jiran
Bernama
Januari 19, 2016 09:40 MYT
Januari 19, 2016 09:40 MYT
Singapura akan berusaha untuk mengukuhkan hubungan dengan negara jiran terdekatnya, Malaysia dan Indonesia, yang telah mencapai kemajuan yang stabil dan substantif dalam tahun-tahun kebelakangan ini, kata Kementerian Luar Singapura.
Menterinya, Dr Vivian Balakrishnan menyebut beberapa projek akan datang di Malaysia akan mendekati lagi kedua-dua negara itu.
"Melalui projek-projek seperti pembangunan bersama di Singapura dan Iskandar Malaysia, Kereta Api Berkelajuan Tinggi dan Rapid Transit System, terdapat dorongan kuat untuk kerjasama lebih rapat antara Malaysia dan Singapura," katanya dalam adendum kepada ucapan Presiden Tony Tan merasmikan
sesi Parlimen ke-13.
Beliau menegaskan bahawa sebagai sebuah negara yang kecil, membangunkan perkongsian yang kukuh, mampan dan pelbagai aspek di semua peringkat adalah penting bagi keselamatan jangka panjang Singapura dan kemakmuran yang berterusan.
Jumaat lepas, Tan menyentuh mengenai komitmen kerajaan Singapura untuk membangunkan, antara lain, sebuah negara Singapura yang selamat dan terjamin.
Kementerian itu berkata mengekalkan kerelevanan Singapura kepada dunia dan meluaskan ruang antarabangsanya adalah satu daripada tiga teras utama yang akan diberi perhatian dalam persekitaran yang mencabar ini.
Justeru, Dr Balakrishnan berkata Singapura perlu menerajui strategi dan landskap keselamatan yang semakin kompleks dan tidak dapat diramalkan.
Anjakan kuasa global dan persaingan untuk pengaruh dalam kalangan kuasa-kuasa besar, khususnya di Asia Pasifik, akan memberi kesan kepada orde global dan serantau, menimbulkan risiko dan peluang luar biasa bagi Singapura sebagai sebuah negara, katanya.
"Kebangkitan nasionalisme, perlindungan dan polarisasi masyarakat di banyak negara serantau telah memburukkan lagi cabaran yang dihadapi oleh Singapura.
"Cabaran geopolitik di Timur Tengah, terutama ancaman kumpulan pengganas Daish dan pergolakan di Timur dan Laut China Selatan, akan terus sukar dikawal," kata beliau.
Dari segi ekonomi, prospek global adalah tidak menentu, walaupun inisiatif utama seperti Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) menawarkan prospek cerah, katanya.
Menyentuh mengenai ASEAN, beliau berkata, ia kekal sebagai asas bagi dasar luar Singapura dan menjadi asas bagi rantau yang stabil, aman dan makmur.
"ASEAN mewujudkan platform bagi kita untuk melibatkan kuasa-kuasa besar utama di peringkat serantau," kata Dr Balakrishnan.
Beliau juga berkata bahawa Singapura akan mengambil alih peranan Pengerusi ASEAN pada 2018 yang akan menyaksikan negara ini menjadi hos beberapa mesyuarat penting termasuk Sidang Kemuncak ASEAN, Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).