Singapura bentang belanjawan 'lebihan kecil' bagi tahun 2024
Bernama
Februari 16, 2024 23:11 MYT
Februari 16, 2024 23:11 MYT
SINGAPURA: Singapura membentangkan belanjawan 'lebihan kecil' sebanyak S$0.8 bilion (S$1=RM3.55) bagi tahun kewangan 2024, atau 0.1 peratus daripada keluaran negara kasar (KDNK), yang pada asasnya adalah kedudukan fiskal yang seimbang, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Lawrence Wong.
"Pendekatan keseluruhan adalah wajar memandangkan kami menyediakan sokongan bersasar untuk isi rumah dan perniagaan meskipun ekonomi diunjurkan beroperasi hampir pada tahap berpotensi," katanya semasa membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen hari ini.
Dalam lampiran yang dikeluarkan kepada media, hasil operasi bagi 2024 dianggarkan berjumlah S$108.64 bilion.
Anggaran jumlah perbelanjaan ialah S$111.76 bilion, terdiri daripada perbelanjaan mengurus sebanyak S$88.43 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak S$23.33 bilion
Bagi tahun kewangan 2023, Wong berkata kutipan hasil negara adalah lebih baik daripada jangkaan, terutamanya disumbang oleh kutipan cukai pendapatan korporat yang lebih tinggi.
"Mengambil kira kedua-dua peningkatan hasil dan juga perbelanjaan yang lebih tinggi, kami menjangkakan tahun kewangan 2023 ditutup dengan defisit S$3.6 bilion, atau 0.5 peratus daripada KDNK," katanya.
Bagi 2024, Wong berkata prospek ekonomi dijangka bercampur-campur
"Pertumbuhan di ekonomi utama dijangka berdaya tahan.Tetapi risiko geopolitik terus memberi risiko yang besar dengan perang masih berterusan di Eropah dan Timur Tengah.
"Konflik ini boleh menggugat pasaran tenaga dan rantaian bekalan global,"ujarnya.
Bagaimanapun, Wong berkata, masih terdapat petanda positif.
"Tekanan inflasi global dijangka terus surut. Ini memberikan sedikit ruang kepada bank pusat utama untuk mengguna pakai pendekatan lebih akomodatif yang boleh melegakan keadaan kewangan dan menyokong permintaan.
"Industri elektronik global dijangka terus pulih.Ini akan meningkatkan pertumbuhan banyak ekonomi serantau, termasuk rakan dagangan utama kami," katanya.
Wong berkata Asia akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan global, dengan peluang yang lebih luas, bukan sahaja di China, tetapi juga di India dan banyak negara di Asia Tenggara.
"Secara keseluruhannya, kami optimis dalam berhati-hati bahawa 2024 akan menjadi tahun yang lebih baik. Selain inflasi rendah, kami menjangka pertumbuhan KDNK lebih tinggi pada 1.0 hingga 3.0 peratus," katanya.
-- BERNAMA