Singapura arah sos pasta carbonara Prego buatan Malaysia ditarik balik

Faida Rahim
Disember 22, 2022 16:15 MYT
Produk sos pasta itu menunjukkan beberapa tanda kerosakan, termasuk bau yang tidak menyenangkan, warna luar biasa, struktur berair dan lapisan cecair terpisah. - Singapore Food Agency (SFA)
SINGAPURA: Produk sos pasta carbonara cendawan berjenama Prego yang diimport ke Singapura dilaporkan ditarik balik disebabkan kerosakan produk.
Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam satu kenyataan media memaklumkan kumpulan The Arnott's Group mengumumkan tentang kerosakan sos yang dikesan daripada 'kesilapan dalam pembuatan' melibatkan produk sos pasta (665g).
Produk yang terjejas bernombor lot 2022081716 dikeluarkan pada 17 Ogos 2022 dari jam 10.18 malam hingga 11.20 malam dan bertarikh luput pada 17 Ogos 2023.
Produk sos pasta keluaran Malaysia menunjukkan beberapa tanda kerosakan, termasuk bau yang tidak menyenangkan, warna luar biasa, struktur berair dan lapisan cecair terpisah.
Dalam pada itu, pengimport Campbell Soup Asia Tenggara (cawangan Singapura) telah diarahkan untuk menarik balik produk itu.
“Pengguna yang telah membeli produk yang terlibat tidak seharusnya memakannya. Mereka yang telah menikmat produk dan berasas tidak sihat harus mendapatkan rawatan perubatan segera.
“Pengguna boleh menghubungi tempat sos dibeli untuk pertanyaan,” kata SFA.
#Singapura #Prego #sos carbonara #The Arnott's Group
;