Singapura arah Meta maklumkan pengguna mengenai kenyataan palsu berkenaan hukuman mati
Bernama
November 5, 2024 19:08 MYT
November 5, 2024 19:08 MYT
SINGAPURA: Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura telah mengarahkan Meta Platforms Inc. (Meta) dikenakan Arahan Pembetulan Sasaran (TCD) berikutan penyiaran semula kenyataan palsu di platformnya mengenai penjadualan hukuman mati dan pendakwaan kes pengedaran dadah di negara ini.
MHA berkata ia telah mengarahkan Pejabat Perlindungan daripada Pembohongan dan Manipulasi Dalam Talian (POFMA) untuk mengeluarkan TCD berkenaan, yang memerlukan Meta memaklumkan kepada pengguna yang telah melihat kiriman ulangan bahawa ia mengandungi kenyataan palsu.
"TCD ini juga memerlukan pengguna diberikan pautan kepada penjelasan kerajaan di https://www.gov.sg/article/factually051024," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kementerian menambah bahawa penjelasan itu menggariskan pembohongan dan fakta untuk semakan orang awam, tanpa memerlukan kiriman asal dipadamkan.
"Pembaca boleh melihat kiriman asal dan fakta, dan membuat keputusan sendiri mengenai kebenarannya," katanya.
TCD itu berkaitan dengan 10 kiriman Facebook dan 30 kiriman Instagram yang dibuat oleh individu pada 23 dan 24 Oktober, yang menyebarkan semula kenyataan palsu daripada "Transformative Justice Collective" (TJC), sebuah kumpulan yang memperjuangkan pemansuhan hukuman mati di Singapura.
Kiriman asal oleh TJC telah dikenakan Arahan Pembetulan pada 5 Oktober, yang mewajibkan kumpulan itu memasukkan notis pembetulan pada kiriman itu, yang menyatakan bahawa ia mengandungi kenyataan palsu.
Kementerian berkata TJC telah mematuhi Arahan Pembetulan itu pada 6 Oktober.
"Dengan menyebarkan semula kiriman TJC pada 23 dan 24 Oktober, individu-individu ini memilih untuk menyebarkan maklumat palsu yang mereka tahu, atau sepatutnya tahu, adalah palsu," kata kementerian itu.
-- BERNAMA