Singapore Airlines tidak akan saji makanan semasa tali pinggang keselamatan dihidupkan
Agensi
Mei 23, 2024 07:00 MYT
Mei 23, 2024 07:00 MYT
SINGAPURA: Selain menggantung hidangan minuman panas, Singapore Airlines (SIA) kini juga akan berhenti menghidangkan makanan apabila isyarat tanda tali pinggang keledar dihidupkan.
Langkah terbaharu yang diumumkan itu merupakan sebahagian daripada pendekatan “lebih berhati-hati" untuk menguruskan gelora udara ketika penerbangan, kata SIA pada Khamis sebagai menjawab pertanyaan CNA berhubung rutin perkhidmatan kabin yang diubah suai susulan apa yang berlaku pada penerbangan SQ321.
Pada Selasa lalu, penerbangan SQ321 laluan London-Singapura dilanda gelora udara secara tiba-tiba dan melampau di Myanmar menyebabkan juruterbang pesawat itu terpaksa melencong ke Bangkok.
Dalam kejadian itu, seorang penumpang maut selain ramai yang cedera.
“Selain penggantungan perkhidmatan minuman panas apabila tanda tali pinggang keledar dihidupkan, perkhidmatan makanan juga akan digantung,” kata SIA.
SIA turut memaklumkan, polisi semasa yang menetapkan anak kapal untuk memastikan semua barang dan peralatan yang longgar di dalam kabin disimpan dengan selamat semasa cuaca buruk akan diteruskan.
"Anak-anak kapal juga akan terus menasihati penumpang supaya kembali ke tempat duduk dan mengenakan tali pinggang keledar. Mereka juga akan memantau pelanggan yang mungkin memerlukan bantuan termasuk penumpang yang berada di dalam tandas," kata SIA lagi.
Syarikat penerbangan itu turut menambah, anak-anak kapal juga akan kembali ke tempat duduk mereka dan mengenakan tali pinggang keledar sebaik isyarat dihidupkan.
"Juruterbang dan kru kabin menyedari bahaya yang berkaitan dengan gelora udara. Mereka juga dilatih untuk membantu pelanggan dan memastikan keselamatan kabin sepanjang penerbangan.
"SIA juga akan terus menyemak proses kami kerana keselamatan penumpang dan anak kapal kami adalah amat penting," kata syarikat itu lagi. - CNA