Singapore Airlines larang penggunaan Samsung Galaxy Note 7

Agensi
September 10, 2016 14:00 MYT
Penguatkuasaan ini berlaku susulan laporan mendakwa bateri Samsung Galaxy Note 7 meletup ketika sedang dicas. - Gambar fail
Syarikat penerbangan Singapore Airlines menyertai beberapa syarikat penerbangan dunia yang lain apabila mengharamkan penggunaan telefon pintar, Samsung Galaxy Note 7 di dalam pesawat.
Ia adalah susulan laporan yang mengatakan bateri telefon itu meletup ketika sedang dicas.
“Penumpang dilarang menggunakan dan mengecaj telefon Samsung Note 7 di dalam semua pesawat kami,” kata SIA melalui satu kenyataan kepada AFP baru-baru ini.
Sebelum ini, syarikat penerbangan Qantas dan Virgin (Australia) serta Etihad (UAE) telah mengeluarkan kenyataan yang sama.
Pihak berkuasa penerbangan di Amerika Syarikat dan Jepun juga menggesa penumpang untuk memastikan penumpang yang memiliki telefon daripada jenama itu agar mematikan telefon di dalam pesawat.
Penjualan telefon tersebut digantung buat sementara waktu dengan lebih 2.5 juta unit yang telah dijual dipanggil semula.
#Etihad #Galaxy Note 7 #Qantas #Samsung #SIA #Singapore Airlines
;