Singa terlalu kurus di Khartoum, pasukan Four Paws tiba beri bantuan

Agensi
Januari 28, 2020 21:26 MYT
Terdahulu, beberapa keping foto yang menunjukkan beberapa ekor singa dalam keadaan terlalu kurus tular di media sosial sehingga mencetuskan kemaharan orang ramai. Foto: Reuters
Sepasukan petugas Pertubuhan Kebajikan Haiwan Global, Four Paws tiba di Khartoum, Sudan bagi menilai keperluan Taman Al Qurashi Family dan menyiasat keadaan haiwan termasuk singa yang dilaporkan terlalu kurus di zoo berkenaan.
Menurut pakar haiwan, Juno van Zon, pasukannya bersama Jabatan Veterinar akan meneliti keadaan di zoo tersebut dan menghulurkan bantuan yang diperlukan.
"Tujuan kami di sini adalah untuk memantau keadaan haiwan. Berdasarkan keadaan yang dipaparkan menerusi kamera, sukar buat kami untuk menilai keadaan sebenarnya.
"Jadi kami di sini akan menilai keadaan haiwan. Kami juga berharap dengan kerjasama Jabatan Haiwan Liar untuk menyemak fakta dan menilai bersama Jabatan Veterinar tentang apa yang diperlukan untuk menambah baik keadaan haiwan di sini," jelasnya.
Pada masa sama, menurut Pegawai Veterinar, Amir Khalil pihaknya juga mahu memastikan langkah penyelesaian jangka panjang dilakukan dan bukan hanya sebagai langkah kecemasan.
Terdahulu, beberapa keping foto yang menunjukkan beberapa ekor singa dalam keadaan terlalu kurus tular di media sosial sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.
Susulan penularan itu, penduduk di Sudan yang prihatin terhadap nasib singa di zoo tersebut membawa makanan dan keperluan perubatan.
Bagaimanapun, orang di luar negara yang ingin menyalurkan derma menerusi 'crowdfunding' gagal melakukan demikian kerana sekatan yang dikuat kuasa di Sudan.
#Four Paws #Khartoum #kurus #Pertubuhan Kebajikan Haiwan Global #singa #Taman Al Qurashi Family #zoo
;