Simpan mayat kekasih dalam beg sebelum campak dalam semak

Agensi
Mac 14, 2018 18:46 MYT
Laporan forensik menyebut mayat wanita terbabit terlalu reput dan sukar untuk menentukan punca sebenar kematian. - Foto AP
Polis Taiwan menemui mayat wanita dipercayai warga Hong Kong berhampiran sebuah stesen keretapi di Taipei pada lewat Selasa.
Mayat wanita berusia 21 tahun itu ditemui di dalam semak berhampiran stesen terbabit.
Susulan kejadian, polis Hong Kong telah menahan seorang suspek lelaki berusia 19 tahun yang disyaki membunuh teman wanitanya itu ketika berada di Taiwan bulan lalu.
Suspek mengaku membunuh teman wanitanya dan membuang mayat di dalam semak berhampiran stesen terbabit sebelum kembali ke Hong Kong pada 17 Februari.
Laporan forensik menyebut mayat wanita terbabit terlalu reput dan sukar untuk menentukan punca sebenar kematian.
Pada Rabu polis Taipei telah mengeluarkan rakaman kamera litar tertutup CCTV dari hotel yang dikunjungi mangsa dan suspek dan menunjukkan suspek berjalan keluar dengan beg beroda.
Polis percaya beg itu digunakan untuk membawa mayat mangsa.
Buat masa ini polis Taiwan dan Hong Kong masih menjalankan siasatan lanjut.
#Hong Kong #hotel #lelaki #mangsa #mayat #polis #siasatan #suspek #Taiwan #wanita
;