Simon Harris dipilih Perdana Menteri baharu Ireland
Bernama
April 9, 2024 07:20 MYT
April 9, 2024 07:20 MYT
DUBLIN: Ahli Parlimen Ireland pada Selasa mengundi menyokong pencalonan pemimpin Parti Fine Gael, Simon Harris sebagai Perdana Menteri baharu negara itu berbanding 69 ahli menentang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Harris, 37, akan pergi ke kediaman rasmi Presiden Ireland, Michael D. Higgins, yang pelantikannya sebagai Perdana Menteri termuda di negara itu akan disahkan.
Presiden akan menandatangani Waran Pelantikan dan menyerahkan Mohor Taoiseach dan Mohor Kerajaan kepada Harris pada satu majlis di Aras an Uachtarain di Phoenix Park, Dublin.
Bapa kepada dua anak itu akan menjadi Perdana Menteri Ireland ke-15 selepas peletakan jawatan mengejut Leo Varadkar sebagai pemimpin Fine Gael tiga minggu lepas.
Varadkar secara rasmi meletak jawatan pada pertemuan dengan Higgins petang Isnin, membuka jalan untuk pemilihan Harris pada Selasa. - BERNAMA