Siklon Mocha: ASEAN hantar bantuan kemanusiaan ke Myanmar esok
Bernama
Mei 20, 2023 16:32 MYT
Mei 20, 2023 16:32 MYT
JAKARTA: Bantuan pertama tindak balas kecemasan ASEAN ke Myanmar susulan Siklon Mocha akan dihantar esok menggunakan pesawat komersial, menurut Kementerian Luar Indonesia.
Kementerian itu dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa bantuan telah pun siap dan berada di gudang Sistem Logistik Kecemasan Bencana untuk ASEAN di Subang, Malaysia dan Chainat, Thailand.
"Bantuan seterusnya akan dihantar pada 22 Mei atau 23 Mei menggunakan pesawat tentera dari Indonesia, Singapura dan Thailand," menurut kementerian.
Penyelarasan penyediaan pengangkutan bantuan menggunakan pesawat tentera anggota ASEAN dilakukan melalui ASEAN Military Ready Group on Humanitarian Assistance and Disaster Relief.
Ini selari dengan komitmen Indonesia, selaku pengerusi ASEAN 2023 dan kenyataan bersama Menteri Luar ASEAN yang menyuarakan kesediaan memberikan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar melalui pendekatan "One ASEAN One Response".
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA) dan perwakilan Indonesia, Brunei, Filipina, Singapura dan Thailand di Pasukan Respons dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ASEAN-ERAT) serta Sekreteriat ASEAN telah tiba di Myanmar untuk menyokong usaha tindak balas kecemasan.
Mereka juga sedang mengumpul maklumat di lapangan dan membantu mempermudah proses bantuan, menurut kementerian.
Lebih 400 orang dilaporkan maut di Rakhine, Myanmar pada Rabu lalu akibat Siklon Mocha, yang melanda kawasan pantai antara daerah Cox's Bazar di Bangladesh dan pekan Kyaukpyu Myanmar.
-- BERNAMA