Siklon Hidaya hampiri Tanzania

Bernama
Mei 4, 2024 22:00 MYT
Tanzania berada dalam keadaan berjaga-jaga pada Sabtu apabila Siklon Hidaya bergerak menghampiri kawasan pantai, membawa bersamanya hujan lebat, angin kencang dan ancaman ribut serta gangguan bekalan elektrik. - Foto AP
DAR ES SALAAM: Tanzania berada dalam keadaan berjaga-jaga pada Sabtu apabila Siklon Hidaya bergerak menghampiri kawasan pantai, membawa bersamanya hujan lebat, angin kencang dan ancaman ribut serta gangguan bekalan elektrik, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Siklon itu yang bergerak merentas kawasan barat Lautan Hindi dengan kelangsungan angin maksimum pada 75 kilometer sejam dijangka melalui Dar es Salaam, bandar raya utama di kawasan pantai lewat Sabtu atau awal Ahad tetapi tidak bertemu daratan secara langsung, kata Sistem Koordinasi dan Amaran Bencana Global (GDACS).
Cuaca buruk juga diramalkan di timur Tanzania sehingga Selasa.
Pihak berkuasa telah menggantung perkhidmatan pengangkutan marin antara Pulau Zanzibar dan tanah besar serta mengingatkan orang ramai di seluruh negara supaya mengambil langkah berjaga-jaga.
Menurut Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, hujan mencurah-curah dan banjir sejak Mac mengakibatkan kemusnahan di Tanzania, Burundi, Kenya, Somalia, Rwanda dan lain-lain tempat di Afrika Timur.
Ia menjejaskan 205,000 orang di Kenya, 179,000 di Burundi, 127,000 di Somalia dan lebih 125,670 di Tanzania, kata OCHA dalam satu laporan terkini.
Di Kenya, ratusan penduduk maut dalam ribut dua minggu lepas dan puluhan ribu keluarga hilang tempat tinggal.
Ribut semasa musim hujan yang panjang sejak Mac bukan perkara luar biasa. Bagaimanapun pada tahun ini hujan yang mencurah-curah menjadi lebih buruk oleh fenomena El Nino. Pakar berkata perubahan iklim juga memburukkan lagi fenomena cuaca tetap ini.
-- BERNAMA
#Siklon Hidaya #tanzania #ribut #hujan lebat
;