Siklon Garance ragut 3 nyawa

Bernama
Mac 1, 2025 12:10 MYT
Sebatang tiang elektrik tumbang di hadapan sebuah rumah ketika siklon Garance di pulau La Reunion, Saint-Denis, La Reunion, 28 Feb 2025. REUTERS
NAIROBI (Kenya): Siklon Garance yang melanda Pulau Reunion pada Jumaat mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga kematian serta kerosakan infrastruktur yang meluas, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Prefek Pulau Reunion, Patrice Latron dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa tiga terkorban, manakala 182,000 penduduk terputus bekalan elektrik, 171,000 tidak mempunyai air bersih dan 134,000 mengalami gangguan internet.
Perdana Menteri Perancis Francois Bayrou turut mengesahkan angka korban menerusi platform X sambil memberi amaran bahawa siklon itu masih mengancam pulau berkenaan.
"Saya menyeru semua pihak mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan. Penghargaan kepada pasukan kerajaan yang bertungkus-lumus membantu kita menghadapi ujian ini," katanya.
Angin kencang dan hujan lebat akibat siklon itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan air secara meluas serta kerosakan harta benda, selain banjir teruk di beberapa kawasan.
Susulan itu, pihak berkuasa mengeluarkan amaran tahap maksimum sehingga Sabtu, memerintahkan penduduk untuk kekal di rumah dan menghentikan semua aktiviti yang tidak penting.
Pasukan kecemasan diarahkan menilai kerosakan, memulihkan perkhidmatan asas, serta memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas.
Agihan kain kanvas dan bekalan kecemasan lain dijadualkan bermula Sabtu bagi membantu penyediaan tempat perlindungan sementara dan kerja-kerja pembaikan.
-- BERNAMA
#hujan lebat #Pulau Reunion #Siklon Garance #Perancis
;