Siklon Gabrielle: PM New Zealand isytihar darurat
Agensi
Februari 14, 2023 16:48 MYT
Februari 14, 2023 16:48 MYT
AUCKLAND: New Zealand mengisytiharkan darurat di Auckland, utara New Zealand pada Selasa ekoran siklon Gabrielle yang membadai negara itu dan mengakibatkan lebih 225,000 pengguna mengalami gangguan elektrik.
Angin kencang dan hujan lebat berterusan, semenjak Isnin, "membimbangkan dan setakat ni, keadaan ini direkod sebagai cuaca terburuk sejak seabad lalu,” kata Perdana Menteri, Chris Hipkins, memetik laporan portal antarabangsa pada Selasa.
“Impaknya begitu signifikan dan meluas. Jumlah kemusnahan kali ini, tidak pernah dialami negara ini sebelum ini,” kata Hipkins.
Agensi berita New Zealand melaporkan beberapa mangsa yang terpaksa berenang dari kediaman mereka mencari tempat berteduh. Tidak ketinggalan juga ada yang terpaksa berjalan kaki dalam ribut dan hujan lebat untuk menyelamatkan diri.
“Pokok besar tumbang di hadapan rumah dan kini kami terperangkap,” kata penduduk Whangamata, Brendon Pugh, memetik laporan AFP, pada Selasa.
.
Sebelum ini, Pengurusan Kecemasan Auckland menggesa orang ramai bersiap sedia menghadapi gangguan bekalan elektrik besar-besaran termasuk menyimpan stok makanan, bateri, selimut, dan pakaian tebal, serta mengikuti perkembangan semasa di radio.
Beberapa kawasan tidak dapat diakses akibat terputus punca kuasa dan telekomunikasi.
Jalan-jalan utama di antara Wellington dan Auckland juga terpaksa ditutup ekoran cuaca ekstrem.
Sejumlah 600 penerbangan antarabangsa dan domestik juga terpaksa dibatalkan, syarikat penerbangan Air New Zealand, berkata, lebih 35,000 penumpang terjejas.
Beberapa terminalnya digenangi air banjir setinggi paras buku lali.