Siklon Freddy: PBB tingkatkan usaha bantu Malawi, Mozambique
Bernama
Mac 16, 2023 13:02 MYT
Mac 16, 2023 13:02 MYT
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meningkatkan usaha untuk memperoleh sokongan kerajaan bagi membantu Malawi dan Mozambique yang dibadai Siklon Tropika Freddy buat kali kedua pada hujung minggu, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB pada Rabu.
Menurut pihak berkuasa Malawi, sekurang-kurangnya 225 orang terbunuh dan 700 yang lain cedera.
Siklon itu juga menyebabkan 88,000 orang hilang tempat tinggal serta menjejaskan 186,000 penduduk.
PBB dan rakan kongsinya sedang berusaha meningkatkan respons bagi menyokong usaha bantuan yang diterajui kerajaan. Negara itu juga dijangka berhadapan risiko banjir dan ramai lagi penduduk masih terkandas.
Dalam tempoh dua hari lepas, sekurang-kurangnya 178 orang diselamatkan, termasuk menggunakan bot daripada Program Makanan Sedunia.
OCHA terus menggerakan bekalan penting ke bandar kedua terbesar, Blantyre yang paling teruk dilanda bencana.
Bekalan ini termasuk makanan, tempat tinggal, peralatan tempat tidur, set dapur, tandas mudah alih, bekalan perubatan dan kit kebersihan.
Di Mozambique, pihak berkuasa berkata bencana itu menjejaskan hampir 94,000 orang di lima wilayah selain lebih 239,000 orang terjejas akibat banjir di selatan dan tengah Mozambique apabila ribut mula melanda pada 24 Februari, kata OCHA.
Kesan hujan lebat dan banjir sangat membimbangkan terutama ketika penyakit kolera merebak ke lebih banyak kawasan di negara ini. Bilangan kes semakin meningkat dengan angka sehingga Selasa mencatatkan 54 kematian daripada hampir 8,700 kes yang dilaporkan, katanya.
-- BERNAMA