Siklon badai Brazil, angka kematian meningkat kepada lapan

Bernama
Jun 18, 2023 10:20 MYT
Pemandangan udara menunjukkan kemusnahan dan banjir yang terjadi akibat hujan lebat susulan kejadian siklon, di Sao Leopoldo, Rio Grande do Sul, Brazil, 17 Jun 2023. - REUTERS
SAO PAULO: Angka kematian akibat banjir yang dicetuskan oleh siklon luar tropika di selatan Brazil, Rio Grande do Sul, meningkat kepada lapan pada Sabtu, manakala 19 lagi masih hilang, lapor Xinhua.
Sehingga kini, 40 bandar terjejas akibat kejadian tanah runtuh, banjir dan bekalan elektrik terputus.
Seramai 2,330 orang telah dipindahkan, 602 orang hilang tempat tinggal, dan lebih setengah juta penduduk terjejas bekalan elektrik, menurut Jabatan Pertahanan Awam negeri.
Presidennya, Luiz Inacio Lula da Silva, berjanji untuk menyalurkan bantuan persekutuan kepada kawasan yang terjejas.
--BERNAMA-XINHUA
#siklon Brazil #Presiden Luiz Inacio Lula da Silva #orang hilang #tanah runtuh
;