Sihir isteri sendiri kerana curang
Sinar Harian
Jun 12, 2024 08:15 MYT
Jun 12, 2024 08:15 MYT
JAKARTA: Seorang Tentera Nasional Indonesia (TNI) Kopda Muslimin, menjadi perancang utama dalam kes pembunuhan isterinya yang dikenali sebagai Rina Wulandari, 34.
Media tempatan yang menyingkap kembali kejadian yang pernah menggemparkan Indonesia itu,melaporkan Rina ditembak oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali di hadapan rumahnya sendiri di Jalan Cemara 3, Banyumanik, Semarang, Jawa Tengah.
Laporan yang disiarkan pada Selasa itu, memaklumkan bahawa motif pembunuhan itu dirancang oleh suaminya kerana cemburu disebabkan isterinya mempunyai kekasih gelap.
Tindakan itu bukan kali pertama dilakukan oleh Kopda kerana sebelum ini lelaki tersebut melakukan pelbagai cara untuk 'menghabiskan' nyawa isterinya namun gagal.
Dilaporkan dia sebelum ini pernah mengupah orang dengan membayar sebanyak 120 juta rupiah (RM34,719.45) selain pernah menggunakan racun sehinggalah 'menghantar' sihir namun semua usahanya itu gagal.
Susulan itu polis dan TNI bekerjasama mencari Kopda setelah memanggil beberapa orang saksi kes pembunuhan itu namun dia gagal ditemui setelah berjaya menyembunyikan diri.
Bagaimanapun, Kopda tidak sempat dikenakan hukuman selepas dia ditemui meninggal dunia di rumah orang tuanya, selepas seminggu menyembunyikan diri.
Jenazahnya dikebumikan dengan tidak mengikut upacara permakaman tentera kerana selama hidupnya dia didapati melanggar undang-undang negara. - Sinar Harian memetik agensi