Signifikan Royal Standard, bendera yang membaluti keranda Ratu Elizabeth II

Nickyson Nyambar
September 14, 2022 07:15 MYT
Bendera Royal Standard of United Kingdom dilihat jelas membaluti keranda Ratu Elizabeth II semasa ketibaannya di Westminster Hall, London pada petang Rabu. - Foto AP
LONDON: Jasad Ratu Elizabeth II meninggalkan Istana Balmoral, Scotland pada Ahad lepas menandakan bermulanya perjalanan akhir baginda menuju ke tempat permakaman yang akan dilaksanakan di Westminster Abbey, London pada Isnin depan.
Dalam upacara penuh istiadat dan penghormatan itu, mata orang ramai pastinya tertumpu pada setiap perincian yang digunakan sepanjang proses pemakaman baginda ratu.
Ini termasuk bendera yang membaluti keranda Ratu Elizabeth II.
Bendera yang dikenali sebagai Royal Standard ini mempunyai signifikan yang cukup penting buat keluarga diraja Britain khasnya buat ratu pemerintah paling lama di dunia itu.
Menurut portal Royal Family, bendera ini melambangkan kedaulatan diraja serta empayar United Kingdom (UK).
Bendera Royal Standard ini mempunyai pelbagai versi sejak mula digunakan ketika zaman Kesatuan Mahkota (Union of the Crowns) pada 1603 yang menandakan penyatuan Scotland dan England menerusi monarki yang sama di bawah pemerintahan Raja Scotland, Raja James VI selepas kemangkatan Ratu Elizabeth I, yang mangkat tanpa pewaris.
Bendera itu terbahagi kepada empat bahagian yang mana mewakili tiga empayar iaitu tiga singa emas merujuk kepada empayar England, singa merah pekat mewakili empayar Scotland, manakala simbol kecapi mewakili Ireland.
Dalam perjalanan terakhir Ratu Elizabeth II, dua versi bendera digunakan iaitu Royal Standard of Scotland (ketika jasad baginda di Scotland) dan Royal Standard of United Kingdom (ketika ketibaannya di London pada Selasa malam).
Royal Standard of Scotland ditukar kepada Royal Standard of United Kingdom sejurus jasad baginda meninggalkan Edinburgh, iaitu ibu kota Scotland untuk dibawa ke Istana Buckingham di London.
Lebih menarik lagi, bendera Royal Standard ini telah mengiringi Ratu Elizabeth sepanjang hayatnya.
Jika diperhatikan, bendera ini berkibar di setiap kenderaan rasmi baginda ketika baginda melakukan lawatan ke mana sahaja.
Bendera ini juga dinaikkan ketika baginda sedang berada di mana-mana istana miliknya di seluruh UK dan Scotland, ini termasuk pada pesawat yang digunakan oleh baginda dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai ratu pemerintah.
Tidak sama seperti bendera Union Jack, Royal Standard tidak akan pernah dikibarkan separuh tiang meskipun selepas kemangkatan mana-mana kerabat diraja negara itu, termasuk baginda sendiri.
Signifikannya adalah bagi menandakan monarki diraja Britain terus kekal berada di atas takhta buat selama-lamanya.
#Ratu Elizabeth II #kemangkatan #royal family #Royal Standard
;