Sidang Kemuncak Wuzhen WIC 2022 dirasmikan pada Rabu
Bernama
November 9, 2022 05:55 MYT
November 9, 2022 05:55 MYT
WUZHEN: Sidang Kemuncak Wuzhen Persidangan Internet Dunia (WIC) dirasmikan di sini, pada Rabu.
Bertemakan "Towards a shared digital future in a connected world, building a community with a shares future in cyberspace", persidangan kali ini akan memaparkan hasil-hasil terkini perkembangan teknologi Internet, serta memfokuskan pemerkasaan teknologi digital untuk masa depan.
Turut berlangsung sempena persidangan kali ini termasuk satu sidang pleno dan 20 subforum yang memfokuskan empat bidang utama termasuk kerjasama dan pembangunan, teknologi dan industri, kemanusiaan dan sosial, serta tadbir urus dan keselamatan.
Persidangan berkenaan turut menetapkan tema mengenai fokus dan titik hangat dalam ruang siber global, mencerminkan pemikiran pelbagai sektor yang berpandangan kehadapan terhadap prospek pembangunan Internet, menerajui trend baharu inovasi teknologi digital, menunjukkan dan mendorong cadangan China mengenai pembangunan dan tadbir urus Internet serta kebijaksanaan dan tanggungjawab China.
Sidang kemuncak kali ini merupakan sidang tahunan pertama sejak WIC ditubuhkan dan ia disertai kira-kira 2,000 wakil dari lebih 120 negara dan kawasan, secara dalam dan luar talian.
Sebagai sebahagian acara penting bagi persidangan kali ini, The Light of Internet Expo telah dilancarkan terlebih dahulu pada Selasa.
Lebih 400 firma dari dalam dan luar negara mempamerkan hasil sains dan teknologi canggih, kecerdasan buatan (AI), metaverse, data raya, keselamatan siber serta produk terbaharu.
Aktiviti pelancaran hasil sains dan teknologi canggih Internet dunia, pelancaran kertas biru WIC dan perlawanan peringkat akhir pertandingan Internet global "Straight to Wuzhen" juga berlangsung dalam persidangan kali ini.
-- BERNAMA