Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-ROK: Tun Dr Mahathir tiba di Busan
Rahimah Abdullah
November 24, 2019 18:41 MYT
November 24, 2019 18:41 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini tiba di Busan, Korea Selatan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-ROK 2019 yang bermula esok.
Ketibaan Tun Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di Pangkalan Udara Gimhae, Busan disambut Timbalan Menteri Luar Korea Selatan, Lee Tae-ho dan Duta Korea Selatan Ke Malaysia, Lee Chi-beom kira-kira jam 7.20 malam waktu tempatan.
Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Mohd Ashri Muda.
Perdana Menteri kemudian ke lokasi penginapan rasmi beliau di Hotel Paradise, Busan.
Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-ROK 2019 berlangsung selama dua hari melibatkan pemimpin dari 10 negara ASEAN dan Korea Selatan.
Pada hari pertama program, Perdana Menteri dijadual melawat Korea Aerospace Industry (KAI) di Sancheong pada pagi.
Turut menjadi tumpuan, sesi dialog Tun Dr. Mahathir bersama ketua industri sempena sidang kemuncak peringatan itu pada sebelah petang.
Pada hari akhir persidangan, Perdana Menteri akan menghadiri Sesi Pleno Pertama, diikuti dengan Sesi Pleno Kedua dan Sesi Pemukiman Makan Tengahari.
Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-ROK 2019 akan memberi peluang kepada para Pemimpin untuk menilai pencapaian yang telah diperolehi oleh ASEAN dan Republik Korea sepanjang 30 tahun hubungan dialog serta bertukar pandangan mengenai hala tuju hubungan dialog tersebut, serta membincangkan isu-isu politik, keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya.
Para Pemimpin juga akan membincangkan usaha-usaha terkini untuk mengukuhkan kesalinghubungan yang menyumbang kepada kemakmuran dan kemampanan.
#ASEAN
#ASEAN-ROK 2019
#Korea
#Korea Selatan
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Perdana Menteri
#Saifuddin Abdullah
#Siti Hasmah Mohamad Ali