'Sidang Kemuncak OIC di Istanbul cari hala tuju pencapaian negara Islam' - Wisma Putra

Astro Awani
April 12, 2016 13:48 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Ke-13 Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). - Gambar fail
Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang akan diadakan di Istanbul, Turki bakal meneliti dan menetapkan hala tuju dan polisi semua isu yang berkaitan dengan objektif pencapaian negara-negara Islam selama ini.
Dalam satu kenyataan Kementerian Luar, sidang yang akan bermula pada 13 sehingga 14 April itu akan didahului dengan mesyuarat-mesyuarat persediaan iaitu Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Ke-13 Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (Sidang Kemuncak OIC) dan akan diiringi Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
"Sidang Kemuncak OIC, yang diadakan setiap tiga tahun sekali, akan didahului dengan mesyuarat-mesyuarat persediaan yang diadakan pada 12 sehingga 13 April dan 10 sehingga 11 April masing-masing," jelas kenyataan itu.
Kata kenyataan itu lagi, sidang kemuncak itu akan meneliti dan menetapkan hala tuju polisi semua isu yang berkaitan dengan objektif pencapaian OIC.
"Bertemakan 'Perpaduan dan Kebersamaan untuk Keadilan dan Keamanan', sidang kemuncak ini menekankan betapa pentingnya perpaduan dan kebersamaan negara-negara anggota OIC dalam menyelesaikan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh dunia Islam.
"Sidang Kemuncak ini dijangka menggariskan pendekatan-pendekatan menerusi dokumen-dokumen akhir agar dapat dilaksanakan oleh negara-negara anggota OIC, untuk kebaikan negara-negara anggota dan ummah," jelas kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, sebagai salah sebuah negara pengasas OIC, penyertaan negara di sidang kemuncak ini membuktikan komitmen utuh negara bagi meneruskan peranan aktif di dalam OIC serta menyumbang ke arah kemajuan dan kesejahteraan ummah sendiri.
Sebelum ini, Anifah pada Mesyuarat Luar Biasa Majlis Menteri Luar OIC di Jeddah menggesa langkah sewajarnya diambil bagi meredakan sebarang ketegangan yang wujud antara negara anggota OIC.
#Anifah #najib #oic #Wisma Putra
;