Sidang Kemuncak Liga Arab terima pakai Deklarasi Jeddah
Bernama
Mei 20, 2023 18:57 MYT
Mei 20, 2023 18:57 MYT
JEDDAH: Sidang Kemuncak Liga Arab ke-32 yang berakhir pada Jumaat menerima pakai Deklarasi Jeddah yang menyeru perpaduan untuk menyelesaikan isu serantau, lapor Xinhua.
Deklarasi itu turut mengalu-alukan kemasukan semula Syria ke Liga Arab (AL) dan berikrar untuk mempergiatkan usaha pan-Arab bagi membantu Syria menangani krisis.
Selain itu, deklarasi berkenaan turut menggariskan Inisiatif Keamanan Arab untuk menyelesaikan isu Palestin, meredakan ketegangan di Sudan, menggesa pemilihan presiden baharu Lubnan dan menyokong inisiatif menggalakkan keselamatan serta kestabilan di Yaman.
Deklarasi itu menolak campur tangan asing dalam hal ehwal negara-negara Arab dan secara mutlak menolak semua sokongan untuk pembentukan kumpulan bersenjata dan militia di luar skop institusi negara.
Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan Al Saud berkata Deklarasi Jeddah akan mengukuhkan lagi kerjasama negara-negara Arab.
Perjuangan Palestin dan usaha untuk membantu menamatkan krisis Syria kekal menjadi keutamaan AL, katanya pada sidang media.
Setiausaha Agung AL, Ahmed Aboul-Gheit, berkata sidang kemuncak sidang kemuncak itu akan menjadi permulaan bagi negara-negara Arab untuk memahami bahawa untung nasib mereka berada di tangan mereka sendiri.
Sidang kemuncak kali ini juga menyaksikan Presiden Syria Bashar al-Assad menghadirinya buat kali pertama sejak negaranya digantung daripada AL selepas meletusnya perang saudara Syria pada 2011.
-- BERNAMA