BURGENSTOCK: Sidang kemuncak keamanan Ukraine yang berlangsung selama dua hari di Burgenstock, Switzerland berakhir pada Ahad dengan sokongan terhadap deklarasi akhir.

Lebih 90 negara menghadiri rundingan berkenaan, namun kenyataan bersama hanya disokong oleh 80 negara dan empat organisasi, lapor Agensi Anadolu.

Sebanyak 16 negara dan organisasi termasuk Indonesia, Libya, Arab Saudi, Thailand, India, Mexico, Afrika Selatan, Brazil dan Emiriah Arab Bersatu memilih untuk berkecuali.

Dalam ucapan penutupnya pada sesi pleno, Presiden Switzerland Viola Amherd berkata walaupun terdapat pandangan berbeza, "kami bersetuju dengan visi yang sama."

"Kami telah menetapkan visi itu menerusi Kenyataan Burgenstock.

"Dengan ini, kami menghantar isyarat jelas kepada rakyat Ukraine dan kepada semua yang terjejas secara langsung akibat perang: Sebahagian besar masyarakat antarabangsa mempunyai keinginan untuk membawa perubahan," katanya.

Menerusi deklarasi akhir, negara-negara ini telah menetapkan rangka kerja yang akan menjadi asas bagi perbincangan selanjutnya.

Amherd menyebut tiga topik yang akan menjadi fokus: "Pertama, sebarang penggunaan tenaga nuklear dan pemasangan nuklear mesti selamat, terjamin, dilindungi dan mesra alam."

"Kedua, keselamatan makanan tidak boleh dijadikan senjata dalam apa jua cara. Serangan ke atas kapal dagang di pelabuhan dan sepanjang laluan, serta terhadap pelabuhan awam dan infrastruktur pelabuhan awam adalah tidak boleh diterima.

"Ketiga, semua tawanan perang mesti dibebaskan melalui pertukaran penuh. Semua kanak-kanak Ukraine yang dipindahkan secara tidak sah dan semua warga awam Ukraine yang ditahan secara tidak sah, mesti dikembalikan ke Ukraine."

Perhimpunan itu tidak dihadiri Rusia dan China.

-- BERNAMA