Sidang Kemuncak G7: Negara anggota setuju beri lebih 1 bilion dos vaksin ke seluruh dunia

Khairunnisa Kasnoon
Jun 13, 2021 23:19 MYT
Johnson berkata, sebagai kumpulan G7, adalah perlu untuk menunjukkan manfaat demokrasi serta kebebasan dan hak asasi manusia kepada seluruh dunia. - Gambar/ Reuters
PERDANA Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson mengumumkan pemimpin negara G7 berjanji untuk mengedarkan lebih satu bilion dos vaksin COVID-19 ke seluruh dunia, sama ada secara langsung atau melalui pembiayaan kepada COVAX.
Ia termasuk 100 juta dos dari UK untuk dihantar ke negara-negara termiskin di dunia.
"Seminggu yang lalu saya meminta rakan-rakan pemimpin saya untuk membantu menyediakan vaksin ke seluruh dunia pada akhir 2022.
"Saya sangat gembira untuk mengumumkan bahawa para pemimpin telah berjanji untuk menyediakan lebih daripada 1 bilion dos, baik secara langsung atau melalui pembiayaan kepada COVAX.
"Ia termasuk 100 juta dari UK ke negara-negara termiskin di dunia, yang merupakan satu lagi langkah besar menuju vaksinasi dunia, " kata Johnson.
Johnson pada masa sama memaklumkan sebagai kumpulan G7, adalah perlu untuk menunjukkan manfaat demokrasi serta kebebasan dan hak asasi manusia kepada seluruh dunia.
Beliau pada masa sama berpuas hati dengan pengeluaran vaksin AstraZeneca yang sehingga kini sudah diterima lebih setengah bilion penerima.
"Kita dapat mencapainya melalui sejarah perubatan. Kita dapat melakukannya dengan bekerjasama untuk menghentikan kehancuran yang dialami disebabkan coronavirus, " tambahnya.
Awal minggu ini, Johnson mengumumkan UK akan menyumbangkan sekurang-kurangnya 100 juta dos vaksin COVID-19 kepada COVAX dan negara-negara yang memerlukannya dalam tahun berikutnya.
Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mengumumkan negara itu merancang untuk menyumbangkan 500 juta dos vaksin Pfizer ke seluruh dunia.
Sebanyak 200 juta dos akan dihantar pada akhir tahun ini manakala baki 300 juta dos akan dihantar pada separuh pertama 2022.
Malaysia sebelum ini menggesa akses universal terhadap vaksin COVID-19 dan ia mesti berpatutan dari segi harga.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perhimpunan Kesihatan Sedunia 31 Mei lalu, menyifatkan ekuiti vaksin masih menjadi isu dan semua pihak tidak dapat memenangi perang melawan COVID-19 selagi setiap orang tidak mendapat akses vaksin yang adil dan cepat.
#United Kingdom #Perdana Menteri #Amerika Syarikat #COVID-19 #G7 #Joe Biden #vaksin #AstraZeneca #Pfizer #suntikan #COVAX
;