Sidang Kemuncak G20 satu kejayaan, kata Menteri Luar Rusia
Bernama
September 10, 2023 22:55 MYT
September 10, 2023 22:55 MYT
NEW DELHI: Sidang kemuncak pemimpin G20 di New Delhi adalah kejayaan bagi kesemua negara G20, kumpulan yang sedang mengalami reformasi dalaman, kata Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov pada Ahad.
"Sidang kemuncak itu adalah kejayaan tanpa syarat, untuk presiden India, untuk kita semua. G20 sedang mengalami pembaharuan dalaman. Ini dicerminkan dalam pengaktifan anggota G20 yang mewakili Global South," kata Lavrov pada sidang media, lapor Sputnik.
Beliau juga menyatakan bahawa sidang kemuncak G20 di India akan memberikan dorongan positif kepada pembaharuan Dana Kewangan Antarabangsa ( IMF ) dan Organisasi Perdagangan Dunia.
"Sidang kemuncak itu, tentu sahaja akan memberikan dorongan yang sangat serius, dorongan positif kepada reformasi IMF dan Organisasi Perdagangan Dunia," kata menteri itu.
Beliau menambah jika kuota dan undi dibahagi secara adil dalam IMF, Amerika Syarikat akan kehilangan kuasa vetonya.
Lavrov juga memuji usaha India dalam penyediaan perisytiharan akhir G20.
-- BERNAMA