Sidang Kemuncak G20: PM Anwar ‘jentik’ negara kaya, kritik ‘dasar yang tersasar’
Harits Asyraf Hasnan
November 19, 2024 08:45 MYT
November 19, 2024 08:45 MYT
RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara-negara G20 untuk menilai semula keutamaan global dengan menyalurkan sumber ke arah memerangi kelaparan dan kemiskinan, bukannya meneruskan konflik dan ketidaksamaan.
Ketika berucap dalam sesi pertama Sidang Kemuncak G20 bertemakan “Memerangi Kelaparan dan Kemiskinan,” Anwar menekankan keperluan sistem kewangan yang lebih adil, tadbir urus yang lebih baik dan pengagihan semula sumber global untuk menangani isu-isu kemanusiaan yang mendesak.
Anwar lantang mengkritik apa yang disifatkannya sebagai “dasar yang tersasar” oleh negara-negara kaya, sambil menekankan jumlah besar dana yang dibelanjakan untuk senjata dan peperangan, berbanding memenuhi keperluan asas manusia.
“Bayangkan jika hanya sebahagian kecil daripada sumber kewangan yang besar ini digunakan untuk memerangi kelaparan dan kemiskinan,” katanya.
Beliau turut mengetengahkan ketidakseimbangan sistemik dalam sistem kewangan global, dengan merujuk kepada pengagihan Hak Pengeluaran Khas (SDR) bernilai AS$650 bilion semasa pandemik COVID-19.
“Hampir dua pertiga daripada pengagihan ini diberikan kepada negara-negara kaya, meninggalkan negara-negara miskin, yang sangat memerlukan bantuan, dengan bahagian yang amat kecil,” tegasnya.
Anwar juga mengkritik warisan institusi Bretton Woods dan menyeru kepada reformasi besar-besaran untuk menghapuskan amalan perdagangan yang tidak adil serta membina sistem kewangan yang benar-benar memberi manfaat kepada semua.
“Peraturan antarabangsa yang kononnya berasaskan peraturan perlu digantikan dengan sistem yang benar-benar mengutamakan keadilan dan keterangkuman,” katanya sambil menambah bahawa kapitalisme tanpa kawalan terus menjadi punca utama ketidaksamaan global.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri memuji kejayaan China dalam membasmi kemiskinan dan menyeru negara-negara lain untuk menyesuaikan strategi serupa mengikut keperluan sosioekonomi masing-masing.
Pada masa sama, beliau menggariskan inisiatif Malaysia menerusi Kerangka Ekonomi MADANI yang menumpukan kepada reformasi tadbir urus, kelestarian fiskal, transformasi digital, pemerkasaan wanita dalam ekonomi, dan tindakan terhadap perubahan iklim.
“Malaysia menegaskan komitmennya terhadap Agenda 2030 untuk memastikan tiada siapa yang ketinggalan,” kata Anwar, sambil menekankan peranan aktif negara dalam menangani kelaparan dan kemiskinan.
Menjelang kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025, Anwar mengulangi komitmen negara untuk membina kapasiti serantau, dengan matlamat memperkukuh tadbir urus, membina daya tahan, dan mengurangkan kemiskinan di seluruh Asia Tenggara.
“Perjuangan melawan kelaparan dan kemiskinan memberi impak langsung kepada pembangunan manusia. Komitmen bersama terhadap matlamat ini akan membawa dunia di mana semua orang dapat berkembang,” katanya, sambil menyeru pemimpin G20 untuk menyelaraskan tindakan mereka dengan janji-janji yang dibuat.
Ucapan Anwar di Sidang Kemuncak G20 mencerminkan seruan global yang semakin meningkat untuk reformasi tadbir urus antarabangsa, ketika para pemimpin berusaha mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan keadilan sosial.
Ia sekali gus menonjolkan peranan Malaysia sebagai pendukung lantang keadilan dan kesaksamaan di pentas dunia.